Firma China ‘intai’ unit perkakas rumah Philips bernilai  €3 bilion | DagangNews Skip to main content

Firma China ‘intai’ unit perkakas rumah Philips bernilai  €3 bilion

HONG KONG 10 Sept. - Firma China iaitu Joyoung dan Gree Electric antara syarikat yang mencari peluang untuk mengambil alih unit perniagaan perkakas rumah Philips bernilai sehingga  €3 billion.

Menurut Reuters, penasihat syarikat Philips telah menghantar cadangan kepada beberapa pembeli berpotensi dan proses pembidaan dikatakan bermula hujung tahun ini. 

Pengeluar barangan elektrik Haier dan Midea juga dikatakan berminat dan ada yang sedang berunding dengan bank pelaburan berhubung pembidaan itu. 

Tindakan mereka itu susulan firma barangan elektrik China berdepan tindakan kawal selia yang ketat dalam pengambilalihan syarikat di negara-negara barat.

Pada Januari lalu Philips mengumumkan untuk melepaskan unit perniagaan perkakas rumahnya yang mengeluarkan produk seperti mesin kopi dan vakum sehingga meraih jualan bernilai €2.3 bilion pada 2019.

“Jurucakap syarikat itu hari ini memberitahu persediaan bagi sebarang urus niaga sedang berjalan dan mereka menjangkakan mula berhubung dengan pihak yang berminat pada musim luruh dan memerterai perjanjian pada suku ketiga tahun depan.

“JPMorgan dan Goldman Sachs sedang melaksanakan rancangan tersebut, bagaimanapun enggan mengulas mengenai pembeli dari China,” kata Reuters. 

Tambah Reuters, pejabat perhubungan pelabur Joyoung bagaimanapun tidak tahu mengenai situasi itu, manakala pejabat perhubungan pelabur Gree pula enggan mengeluarkan sebarang maklum balas.

Jurucakap Haier dan Midea juga berpendirian serupa kerana maklumat itu merupakan perkara sulit. 

Syarikat elektrik China sejak tahun lalu telah mengambil alih pelbagai aset besar di luar negara di mana Haier telah membeli unit perniagaan perkakas General Electric pada tahun 2016 bernilai AS$5.4 bilion sehingga menjadi pengeluar terbesar produk itu.

Pada tahun sama, Philips cuba untuk menjual perniagaan lampunya kepada pembeli China bagaimanapun ditolak oleh Amerika Syarikat (AS). - DagangNews.com