F&N sasar makanan halal tonggak pertumbuhan baharu | DagangNews Skip to main content

F&N sasar makanan halal tonggak pertumbuhan baharu

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Jan. – Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) meletakkan segmen makanan halal sebagai tonggak pertumbuhan baharu kumpulan berkenaan.

 

Ini diperkukuhkan menerusi pemerolehan syarikat makanan dan minuman (F&B) iaitu Sri Nona Food Industries Sdn. Bhd., Sri Nona Industries Sdn. Bhd. dan Lee Shun Hing Sauce Industries Sdn. Bhd. yang mencecah sehingga RM60 juta.

 

Pelaburan itu akan membolehkan F&N menambah lagi jenama makanan seisi rumah Malaysia kepada portfolio jenama terkenal kumpulan syarikat berkenaan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif F&N, Lim Yew Hoe berkata, kumpulan syarikat sentiasa mencari cara untuk ‘mentafsir semula’ perniagaannya menerusi pertumbuhan organik dan sinergi perniagaan untuk memastikan masa depan yang lebih mampan.

 

Lim Yew Hoe
Lim Yew Hoe

 

“Pelaburan terbaharu kami akan menjadi platform untuk meluaskan operasi ke dalam lebih banyak segmen makanan halal untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi produk mudah dan sedia untuk dimakan.

 

“Dengan keupayaan R&D kami yang kukuh, kami yakin pengambilalihan baharu ini akan membantu mengembangkan kategori makanan halal, melengkapi tawaran yang sedia ada dan memperkenalkan lebih banyak produk inovatif untuk meningkatkan margin keuntungan kami dalam jangka panjang,” kata Yew Hoe pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-59, seperti dipetik dalam sebuah kenyataan oleh F&N hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, para pemegang saham F&N menyokong strategi yang dibentangkan oleh Lembaga Pengarah dan Pengurusan F&N untuk mencapai pertumbuhan mampan di AGM yang diadakan secara maya untuk mencapai cita-citanya menjadi syarikat F&B serba lengkap yang terkemuka di rantau ASEAN.

 

Berhubung sekatan pergerakan dan perubahan tingkah laku pembelian pengguna, F&N telah menambah baik strategi saluran dan laluan ke pasarannya untuk memenuhi keperluan mereka.

 

Selepas meningkatkan skala e-dagang pada 2020 untuk memanfaatkan pertumbuhan eksponen saluran itu, F&N mendakwa pihaknya terus meneroka pelbagai pilihan penunaian pesanan untuk meningkatkan kelebihan daya saingnya.

 

“Kami baru-baru ini telah membuka pusat penunaian pesanan F&N Life di Kuala Lumpur, yang memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna seperti pilihan kutip sendiri dan penghantaran ekspres hari berikutnya untuk pembeli dalam talian kami.

 

“Pada masa depan, kami akan membuka lebih banyak pusat penunaian pesanan F&N Life di seluruh Malaysia untuk mewujudkan pengalaman pengguna yang memuaskan,” tambah Yew Hoe.

 

F&N menutup tirai tahun kewangan berakhir 30 September 2020 (FY20) dengan prestasi memberangsangkan yang dipacu oleh pencapaian lebih baik pada suku pertama dan pemulihan pada suku keempat, serta eksport yang kukuh.

 

Kumpulan syarikat menjana hasil berjumlah RM3.99 bilion bagi tahun kewangan berkenaan sambil mengekalkan untung selepas cukai mencecah RM410.1 juta walaupun dibatasi kesan pandemik COVID-19 dan tekanan harga komoditi.

 

Dalam pada itu, Food & Beverages Thailand (F&B Thailand) menyumbang lebih 70% kepada keuntungan kumpulan syarikat pada FY20.

 

F&N juga telah membuat persiapan untuk mengekalkan pertumbuhan dengan melabur dalam pelbagai inisiatif untuk memacu inovasi dan kemampanan perniagaan.

 

Kumpulan syarikat itu telah membuat peruntukan RM30 juta untuk membiayai program tenaga boleh diperbaharui termasuk projek bumbung solar 10MWp di kilang Shah Alam, Pulau Indah dan Bentong.

 

Di samping itu, tiga projek perbelanjaan modal (CAPEX) yang sedang dilaksanakan dijangka selesai menjelang FY21, iaitu sebuah gudang bersepadu bernilai RM182 juta di Shah Alam yang dilengkapi dengan Sistem Pengambilan Barang Simpanan Automatik (ASRS), sebuah Pusat Pengagihan Serantau (RDC) seluas 20,000-meter persegi di Rojana untuk dilengkapi dengan ASRS bernilai RM40 juta, dan barisan pengeluaran air minuman 200 bpm serta gudang bernilai RM20 juta di Kota Kinabalu Park (KKIP) di Sabah.

 

Mengulas mengenai prospek FY21, Yew Hoe berkata, F&N tetap berhati-hati terhadap keadaan tidak menentu di dalam negara dan peringkat global akibat COVID-19.

 

“Meneruskan perniagaan seperti biasa dengan cara yang paling cekap dalam persekitaran operasi yang boleh berubah pada bila-bila masa sambil menjaga keselamatan kakitangan kami dan juga masyarakat umum terus menjadi keutamaan kami.

 

“Sambil kita memulakan satu lagi tahun yang mencabar, kami telah mengenal pasti pelbagai peluang untuk memacu pertumbuhan dan menjimatkan kos, bertunjangkan tiga keutamaan strategi kami iaitu Inovasi, Daya Saing Kos dan Kecemerlangan Pelaksanaan,” ujar Yew Hoe lanjut.

 

Pada AGM tersebut, para pemegang saham telah meluluskan pembayaran dividen satu peringkat terakhir sebanyak 33.0 sen sesaham (2019: 33.0 sen sesaham), menjadikan dividen keseluruhan berjumlah 60.0 sen sesaham (2019: 60.0 sen sesaham), yang perlu dibayar kepada pemegang saham pada 5 Februari 2021. – DagangNews.com