Fokus kepada Belanjawan 2021 - Perdana | DagangNews Skip to main content

Fokus kepada Belanjawan 2021 - Perdana

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Pertubuhan Pedagang dan Peniaga Kebangsaan (Perdana) menggesa semua parti politik berhenti merebut kuasa sebaliknya memberi tumpuan kepada isu rakyat dalam Belanjawan 2021, yang akan dibentangkan 6 November ini. 

Presidennya, Datuk Seri Dr. Erwan Mohd. Tahir berharap tiada mana-mana pihak menggunakan sesi pembentangan dan perbahasan usul belanjawan sebagai sidang untuk undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Ini kerana, menurutnya semua lapisan masyarakat bimbang dengan keadaan ekonomi semasa disebabkan penularan pandemik COVID-19. 

Apatah lagi, katanya, ramai yang terkesan dan masih belum bangkit sepenuhnya daripada kepayahan ekonomi sejak perintah kawalan pergerakan (PKP), Mac lalu walaupun dibuka secara berperingkat. 

"Laporan mengenai kerajaan akan melaksanakan darurat bukan sahaja menjejaskan pasaran saham dan ringgit tetapi turut memberi impak negatif kepada isi rumah di peringkat mikro. 

"Perkara ini yang yang perlu dipandang serius oleh kerajaan dan semua parti politik. 

"Perebutan kuasa sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang secara dasarnya menyebabkan gangguan signifikan kepada kelancaran pentadbiran negara," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Semalam, ekoran ketidaktentuan politik sejak Jumaat lalu, ia terus menjejaskan pasaran tempatan apabila indeks FBM KLCI bergerak dalam jajaran lemah sepanjang hari dengan mencecah paras serendah 1482.8 mata walaupun ditutup hampir tidak berubah, pada 1,494.61 mata. 

Kegagalan Muhyiddin memperoleh pengisytiharan darurat dari Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Ahad menyebabkan beliau didesak pelbagai pihak supaya melepaskan jawatan Perdana Menteri. 

Sehubungan itu, Erwan berkata, sekiranya Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan kerajaan gagal meraih undi di Parlimen, ia dibimbangi memberi kesan kepada usaha kerajaan dalam melaksanakan pelan pemulihan ekonomi yang terjejas akibat wabak tersebut.  

"Kesemua Ahli Parlimen harus meletak ke tepi isu-isu politik kepartian dan isu penukaran Perdana Menteri buat sementara waktu. 

"Mereka sebaliknya perlu memberi fokus kepada isu-isu berkaitan kepentingan rakyat dan negara di dalam usul pembentangan belanjawan sebaik sahaja sidang Parlimen bermula," katanya. - DagangNews.com