foodpanda anjur pandamart Sweep bersama Duta Jenama baru untuk Menang Sambil Beramal | DagangNews Skip to main content

foodpanda anjur pandamart Sweep bersama Duta Jenama baru untuk Menang Sambil Beramal

Bernard Chong (kanan) bersama Elizabeth Tan (kiri), Tanesh Vijayagomaran dan Aishah Sinclair.

 

 

KUALA LUMPUR 7 Dis – Bersempena dengan perayaan akhir tahun dan musim pemberian, foodpanda Malaysia sekali lagi berkongsi kegembiraan dengan sumbangan istimewa kepada badan amal pilihan duta jenama mereka.

 

Mengulas mengenai inisiatif ini, Pengarah Pemasaran, Bernard Chong berkata, usaha tersebut bukan seperti inisiatif CSR lain yang pernah mereka lakukan sebelum ini.

 

“Tahun ini, kami ingin melakukan sesuatu yang berbeza, jadi kami memutuskan untuk meminta duta jenama kami bersaing dalam pandamart Sweep kami sendiri dan memenangi bekalan pandamart bernilai RM10,000 untuk badan amal pilihan mereka,” ujarnya.

 

Tidak asing lagi dalam dunia hiburan tempatan, duta jenama ini termasuk pengacara televisyen, juruhebah radio dan pengacara majlis, Aishah Sinclair; penyanyi, model dan pelakon, Elizabeth Tan dan vlogger terkenal Malaysia serta YouTuber yang berjaya, Tanesh Vijayagomaran.

 

“Duta jenama ini dipilih dengan teliti oleh pasukan kami untuk melambangkan perpaduan bangsa di Malaysia dan menarik perhatian penonton kami dari semua lapisan masyarakat.

 

‘’Selain itu, kami merasakan mereka mempunyai kesan dan pengaruh yang cukup besar dalam masyarakat dengan pengikut setia yang akan mencuba dan mengikuti tip-tip dan nasihat serta cadangan yang telah mereka kongsikan di media sosial,” tambah Bernard.

 

Diilhamkan daripada sebuah rancangan hiburan Amerika, Supermarket Sweep, pandamart Sweep menghendaki tiga duta jenama ini untuk mendapatkan barangan yang disenaraikan di cawangan pandamart dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.

 

Bagaimanapun, kelainannya disini ialah, selain daripada merujuk kepada senarai barangan tersebut, mereka perlu mendengar barang-barang itu daripada lagu rap yang dimainkan.

 

Setiap duta jenama ini akan mendengar versi rap yang berbeza dan cuba mendapatkan semua barangan dalam masa 3 minit. Setiap daripada mereka akan bergilir-gilir meneliti lebih 4,500 barangan yang berbeza di pandamart dan mencari 18 barangan daripada lagu rap yang dimainkan itu.

 

Pemenang permainan ini akan membawa pulang hadiah yang akan didermakan kepada badan amal pilihan masing-masing.

 

Aishah Sinclair memilih OrphanCare Foundation, iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu dalam pembuangan bayi dan pengambilan anak angkat.

 

‘’Faktor pemilihan saya untuk badan amal ini adalah kerana perasaan sedih dan kecewa setiap kali mendengar tentang bayi yang tidak diingini dan tidak dirancang ini. Dengan adanya pertubuhan seperti OrphanCare, bayi-bayi tersebut berpeluang untuk terus hidup dan mencari rumah yang akan menjaga dan memastikan kebajikan mereka dipelihara,” katanya.

 

Elizabeth Tan pula memilih Agape Outreach to the Blind, sebuah NGO yang menyediakan perkhidmatan kepada orang cacat penglihatan dan buta. Dia percaya bahawa cinta itu tidak buta dan ingin meningkatkan kesedaran tentang cara membantu mereka yang cacat penglihatan.

 

 YouTuber Malaysia, Tanesh Vijayagomaran memilih Rumah Amal Anbe Sivam, sebuah rumah anak yatim serta kanak-kanak kurang upaya dan berkeperluan khas sebagai badan amal pilihannya.

 

Pemenang bagi pandamart Sweep menerima bekalan pandamart sebanyak RM 10,000 yang akan disumbangkan kepada badan amal pilihan masing-masing dan juga akan membawa pulang baucar pandamart yang bernilai RM 1,000.

 

Namun, duta jenama ini tidak mengetahui bahawa kesemua rumah amal akan menerima hadiah yang sama.

 

Untuk menambah lagi unsur kejutan, ketiga-tiga duta jenama hanya dimaklumkan berkenaan berita ini sebaik sahaja mereka telah selesai dengan cabaran pandamart Sweep tersebut, di mana kesemua wakil dari rumah kebajikan terpilih turut hadir. – DagangNews.com