FOWCUS akan hantar memorandum kepada KBS supaya iktiraf pencapaian Shereen Vallabouy | DagangNews Skip to main content

FOWCUS akan hantar memorandum kepada KBS supaya iktiraf pencapaian Shereen Vallabouy

Shereen memenangi kejuaraan 400-meter tertutup wanita pada kempen trek dan padang bahagian II Persatuan Olahraga Berkolej Kebangsaan (NCAA) AS 2021-22.

KUALA LUMPUR 17 Mac - Yayasan Komuniti Wanita Dalam Sukan (FOWCUS) akan menghantar memorandum kepada Menteri Belia dan Sukan menggesa Kementerian dan Majlis Sukan Negara memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada pencapaian Shereen Vallabouy dan mereka yang seumpamanya.

 

Presiden FOWCUS, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, beliau membaca dengan berat hati laporan bahawa pencapaian bintang trek Malaysia Shereen Vallabouy dalam acara sukan utama baru-baru ini di Amerika Syarikat telah disambut dengan senyap daripada pegawai sukan negara ini sendiri.

 

Sabtu lalu, Shereen memenangi kejuaraan 400-meter tertutup wanita pada kempen trek dan padang bahagian II Persatuan Olahraga Berkolej Kebangsaan (NCAA) AS 2021-22.

 

Pencapaian 53.79 saat di Pittsburg State University, Kansas turut mencatat rekod baharu Malaysia.


 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
                                    Datuk Zuraida Kamaruddin

 


Zuraida yang merupakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, pencapaian Shereen sepatutnya disambut dengan kegembiraan dan kemeriahan terutamanya daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan badan-badan sukan berkaitan.

 

''Tetapi pencapaian luar biasa Shereen hanya disambut dengan kesunyian yang memekakkan telinga.

 

''Ini menyampaikan mesej yang salah kepada masyarakat sukan, terutamanya atlet tempatan yang telah berkorban darah, keringat dan air mata untuk meletakkan Malaysia di peta sukan global,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Zuraida turut mempersoalkan bagaimanakah negara harus memupuk atlet bertaraf dunia jika mengabaikan ahli sukan dan olahragawati yang cemerlang dan tidak memberikan sokongan yang diperlukan untuk mereka berkembang maju?


 

PM

 


 

PM

 


''Sudah tiba masanya pihak berkuasa dan agensi berkaitan melihat nasib wira yang tidak didendang ini, tanpa mengira jantina dan bangsa mereka.

 

''Di seluruh dunia, atlet wanita menghadapi lebih banyak cabaran berbanding rakan lelaki mereka dan Yayasan Komuniti Wanita dalam Sukan (FOWCUS) komited untuk memperjuangkan nasib mereka di Malaysia,'' ujar beliau.

 

Dalam hal ini kata Zuraida, FOWCUS juga akan bekerjasama rapat dengan KBS untuk memajukan kepentingan atlit wanita di negara ini. - DagangNews.com