Skip to main content

Fraser & Neave catat keuntungan bersih lebih tinggi RM103.5 Juta

KUALA LUMPUR 5 Mei  - Fraser & Neave Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM103.5 juta pada suku kedua berakhir 31 Mac 2021 berbanding RM102.2 juta semasa suku kedua 2020.

 

Perolehan naik kepada RM1.09 bilion daripada RM1.01 bilion selepas didorong oleh jualan domestik dan eksport di tengah-tengah kekangan berkaitan COVID-19. 

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, walaupun perayaan Tahun Baru Cina  tidak begitu meriah akibat Perintah Kawalan Pergerakan 2.0, terdapat momentum positif dalam penggunaan di luar rumah selepas sekatan pergerakan dilonggarkan pada awal Mac lepas.

 

Selanjutnya, pertumbuhan dua angka dalam eksport yang didorong oleh pertumbuhan di pasaran Timur Tengah dan Afrika serta sumbangan sulung daripada Syarikat Sri Nona melonjakkan pertumbuhan hasil makanan dan minuman (F&B) Malaysia sebanyak 13 peratus kepada RM564.2 juta.

 

"Eksport dari Thailand juga berkembang berikutan pertambahan permintaan luar negara, yang membantu mengurangkan pengambilan yang agak perlahan di IndoChina akibat peningkatan baht serta kes COVID-19 di rantau ini," lapor Bernama

 

Sementara itu, perniagaan F&B Thailand mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 4.3 peratus  dalam suku kedua 2021 pada RM525.8 juta di tengah-tengah pemulihan aktiviti ekonomi domestik.

 

Melangkah ke hadapan, kumpulan ini kekal berhati-hati terhadap ketidaktentuan tempatan dan global memandangkan keadaan pandemik COVID-19 yang masih tidak menentu. - DagangNews.com