KUALA LUMPUR 11 Ogos - MR D.I.Y. (M) Berhad diiktiraf sebagai Syarikat Terbaik Tahunan dalam Industri Peruncitan Perkakas Rumah di Malaysia untuk tahun kedua berturut-turut daripada Frost & Sullivan.
Pada 2020, MR D.I.Y. menerima Anugerah Kepimpinan Pasaran dan pada 2021 untuk pertama kali mereka menerima Anugerah Syarikat Terbaik Tahunan.
Anugerah Syarikat Terbaik Tahunan Frost & Sullivan adalah penghormatan tertinggi yang mengiktiraf inovasi, prestasi yang menerajui pasaran dan khidmat pelanggan melalui analisis Anugerah Amalan Terbaiknya.
Ketua Pemasaran Kumpulan MR D.I.Y., Alex Goh berkata, pihaknya berbangga kerana diiktiraf oleh Frost & Sullivan buat kali ketiga sejak 2020 dan membuktikan bahawa pihaknya kekal relevan kepada rakyat Malaysia dengan janji “Always Low Prices”.
"Kami tidak akan dapat meraih pencapaian ini tanpa kesungguhan, komitmen dan kesetiaan 13,000 kakitangan kami di seluruh negara, serta kepercayaan dan keyakinan rakan kongsi perniagaan, para pembekal dan rakan-rakan kami. Anugerah ini kami tujukan buat mereka semua.”
“Bulan ini, bersempena sambutan Kemerdekaan Malaysia yang ke-65, kami juga meraikan pembukaan cawangan ke-1,000 kami dan komited untuk sentiasa menyampaikan nilai dan berkhidmat kepada komuniti," katanya.
Sementara itu, Pengarah Frost & Sullivan, Narciso Podda berkata, kepimpinan pasaran MR D.I.Y. (M) Berhad dalam industri peruncitan perkakas rumah kekal tiada tandingan dengan nilai yang menarik kepada para pelanggan, skala perniagaan dan kecekapan operasi dalamannya.
"Jenama yang menjadi keutamaan di minda ini memenuhi keperluan para pelanggan untuk produk-produk perkakas rumah yang mampu milik, melengkapi nilai untuk wang dengan kemudahan semasa membeli-belah.
"Dengan pembukaan lebih banyak cawangan dan format kedai baharu di seluruh negara, syarikat ini akan terus memacu inovasi dan pertumbuhan industri secara keseluruhannya, seperti yang dapat dilihat dalam pertumbuhan hasil yang menandingi purata industri," katanya. - DagangNews.com