Fuller Academy sasar tingkatkan kemahiran mampan 30,000 bakat ASEAN | DagangNews Skip to main content

Fuller Academy sasar tingkatkan kemahiran mampan 30,000 bakat ASEAN

Wan Imran berucap ketika majlis perasmian Fuller Academy
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Fuller Academy menyasarkan 30,000 pelajar di seluruh ASEAN menyertai 12 kursus jangka pendek kemampanannya, direka dan dipilih industri untuk meningkatkan pengetahuan serta kemahiran bakat dalam kemampanan.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Imran berkata, semua program yang diperakui Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRDCorp) adalah sebahagian daripada kursus pendek kelayakan mikro, yang bertujuan menyediakan penyelesaian pengetahuan bakat, sejajar dengan permintaan global untuk peningkatan kemahiran dalam kelestarian.

 

“Berdasarkan analisis terbaru Bloomberg, aset ESG global berada di landasan untuk melebihi AS$53 trilion menjelang 2025, mewakili lebih satu pertiga daripada AS$140.5 trilion dalam unjuran jumlah aset di bawah pengurusan. 

 

"Ini adalah daya penggerak kuat yang menggalakkan industri beralih ke arah pendekatan lebih mampan. 

 

"Oleh itu, kini adalah masa yang kritikal untuk organisasi mula mendayakan bakat mereka dengan pengetahuan dan tujuan dalam bidang kemampanan. Ini juga sejajar dengan agenda nasional kita untuk mewujudkan 200,000 pekerjaan hijau menjelang 2030,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurutnya, sehingga kini lebih 1,600 peserta daripada pelbagai industri telah mendaftar merentasi pelbagai program dari dalam dan luar negara.

 

“Pelajar kami datang daripada industri dan latar belakang yang berbeza, kerana kami menawarkan pelbagai kursus yang menyasarkan set kemahiran berbeza daripada komunikasi kemampanan kepada pengenalan pelepasan karbon. 

 

 

fuller
Wan Imran (kanan) dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Fuller Academy, Michelle

 

 

"Kami telah mendapat ramai pelajar dari ASEAN dan rantau lain, dengan ramai pelajar berasal dari Eropah. Kursus yang disusun bersama pengajar global kami telah menetapkan standard baharu dalam pembelajaran kelestarian berkesan, praktikal dan menarik.” katanya.

 

Mengulas lanjut, Imran berkata kursus itu semuanya direka dan dicipta pakar dan pengamal industri sekali gus memberikan pandangan tentang pengetahuan industri praktikal.

 

“Kami telah menjadikannya mudah diakses daripada segi geografi dan kewangan. Sebagai platform dalam talian, sesiapa sahaja dari seluruh rantau dan seterusnya boleh mendaftar sebagai pelajar. 

 

"Bagi syarikat yang berpangkalan di Malaysia, mereka boleh mendapat manfaat daripada sokongan kewangan yang boleh disediakan HRDCorp, dan untuk di luar Malaysia, mereka juga boleh memanfaatkan harga peringkat permulaan kami," katanya.

 

Sempena pelancaran itu, Fuller Academy turut menganjurkan beberapa siri sesi dialog mengenai kelestarian, dihadiri pakar dalam bidang tersebut seperti Elina Jani dari Malaysian Green Technology And Climate Change Corporation (MGTC), Wan Dazriq dari Ethis Malaysia, Karina Cady dari Nandina. Rakan kongsi, Yasmin Rasyid dari EcoKnights, dan Yasir Qureshi dari Kantar Malaysia. - DagangNews.com