FY20: Mah Sing capai sasaran jualan RM1.1 bilion | DagangNews Skip to main content

FY20: Mah Sing capai sasaran jualan RM1.1 bilion

Mah Sing

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Syarikat pemaju hartanah, Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) berjaya mencapai sasaran jualan sebanyak RM1.1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

 

Mah Sing berkata, kajayaan tersebut didorong oleh strategi pemasaran digital serta hartanah mampu milik yang ditawarkan di beberapa lokasi strategik seperti Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.

 

"Memasuki 2021, Mah Sing turut mencatatkan jualan yang baik kira-kira RM250 juta bagi tempoh dua bulan pertama.

 

"Menilai kepada prospek hartanah yang lebih baik pada tahun ini, Mah Sing meletakkan sasaran jualan yang lebih tinggi sebanyak RM1.6 bilion untuk keseluruhan 2021.

 

"Sasaran ini meliputi 91% produk yang berharga di bawah RM700,000 dan 51% di bawah RM500,000," jelas syarikat tersebut dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mengulas berkaitan perancangan syarikat, Mah Sing memberitahu, kumpulannya akan mengfokuskan kepada kediaman satu tingkat yang berpatutan di pinggir bandar selain peningkatan harga yang berpatutan di kawasan pusat perniagaan.

 

Kumpulan tersebut juga akan terus mengaplikasikan model perniagaan 'quick turnaround' untuk memperoleh lebih banyak hartanah utama di lokasi yang strategik.

 

Dengan kelebihan tunai dan baki bank yang kukuh berjumlah RM1.16 bilion, Mah Sing akan terus membuat pemilihan bank tanah yang strategik untuk pertumbuhan yang berterusan.

 

"Mah Sing mempunyai senarai pelancaran hartanah baharu yang dirancang pada 2021 termasuk Menara E Vertica, Cheras; M Arisa, Sentul Fasa 2 Cerrado Suites dan Menara B Sensory Residences di Southville City@KL South.

 

Selain itu, Fasa 3 M Aruna dan M Panora di Rawang; M Senyum di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang; pangsapuri di Southbay City, Pulau Pinang; dan rumah dua tingkat berkembar di Meridin East, Johor Bahru.

 

"Kumpulan juga baru-baru ini melancarkan kempen 'Home with Mah Sing' yang dijalankan pada suku pertama 2021, yang menawarkan skim pembayaran mudah dan pelbagai insentif untuk meringankan pemilikan rumah untuk projek terpilih di bawah Mah Sing seperti yuran tempahan serendah RM500, SPA dan yuran guaman percuma.

 

"Selain pelancaran kempen tersebut, Mah Sing telah mengekalkan permulaan yang kuat untuk tahun 2021 melalui pelancaran Menara E yang dijangka pada suku kedua 2021.

 

"Selain itu, kumpulan juga mengharapkan dapat menjayakan hartanah M Centura pada separuh pertama tahun ini," jelas Mah Sing lagi. - DagangNews.com