FY21: Perniagaan sarung tangan Mah Sing dijangka sumbang RM140 juta keuntungan bersih | DagangNews Skip to main content

FY21: Perniagaan sarung tangan Mah Sing dijangka sumbang RM140 juta keuntungan bersih

Sarung Tangan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 16 Okt. - Syarikat pemaju hartanah, Kumpulan Mah Sing Berhad (Mah Sing)  dijangka mencatatkan jumlah keuntungan bersih sebanyak RM140 juta daripada perniagaan sarung tangannya bagi tahun kewangan 2021.

CGS-CIMB Research berkata, jangkaan keutungan bersih itu dinilai berdasarkan andaian harga jualan purata bagi pengeluaran sarung tangan syarikat berkenaan.

"Sekiranya pengembangan unit sarung tangan berjalan lancar seperti yang dirancang, kapasiti pengeluaran diharapkan berjumlah dua bilion keping pada tahun kewangan 2021 dan 3.68 bilion keping bagi tahun kewangan 2022.

"Kami jangkakan perancangan ini akan menyumbang sebanyak RM140 juta bagi tahun kewangan 2021, dan RM220 juta bagi tahun kewangan 2022.

"Masing-masing berdasarkan andaian harga jualan purata bernilai AS$50-60 bagi setiap 1,000 keping," kata CGS-CIMB Research.

Semalam, Mah Sing membuat pengumuman untuk mempelbagaikan aktiviti perniagaan utamanya termasuk pembuatan dan perdagangan sarung tangan dan produk berkaitan penjagaan kesihatan.

Perniagaan sarung tangan berkenaan dapat membawa Mah Sing untuk menembusi pasaran global yang dapat menambah baik prestasi jangka sederhana untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran domestik perniagaan hartanah.

Bagi merialisasikan hasrat perniagaan tersebut, Mah Sing turut membuat perancangan untuk medapatkan 12 barisan pengeluaran sarung tangan baharu bagi penghasilan hingga 3.68 bilion keping sarung tangan dalam masa setahun.

Bagi fasa pengembangan pertama, enam barisan pengeluaran sarung tangan baharu dijangka bermula ada 21 April iaitu suku kedua 2021.

Sementara enam barisan pengeluaran lain dijadualkan bermula pada suku ketiga 2021.

CGS-CIMB Research turut menaikkan jangkaan perolehan sesaham (EPS) syarikat berkenaan sebanyak 130% hingga 179% dengan mengambil kira faktor potensi sumbangan pendapatan daripada sektor sarung tangan berkenaan.

"Kami meningkatkan penarafan saham Mah Sing kepada saranan 'tambah' berbanding saranan 'pegang' pada sebelumnya, harga sasaran sesaham (TP) diubah kepada RM1.35," ujar CGS-CIMB Research. - DagangNews.com