KUALA LUMPUR 22 Julai - Gabungan AQRS Bhd. memperoleh kontrak bernilai RM66.59 juta bagi pembinaan baharu 24 bilik darjah di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Bandar Enstek, Negeri Sembilan.
Kontrak itu diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, Gabungan Strategik Sdn. Bhd. yang menerima surat setuju terima (LOA) daripada Jabatan Kerja Raya.
"Kerja-kerja akan bermula pada 2 Ogos 2022 dan dijangka selesai pada 28 Julai 2025," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Menurutnya, LOA itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan pada masa depan bagi sepanjang tempoh kontrak.
Gabungan AQRS merupakan syarikat penyedia perkhidmatan pembinaan dan kejuruteraan serta pemaju hartanah.
Dalam penutupan petang ini, harga sahamnya kekal tidak berubah pada 30 sen dengan 654,100 saham diniagakan. - DagangNews.com








