Gabungan kesatuan gesa moratorium menyeluruh, tolak bantuan bersasar | DagangNews Skip to main content

Gabungan kesatuan gesa moratorium menyeluruh, tolak bantuan bersasar

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 11 Jun - Sebanyak 400 gabungan yang mewakili badan bukan Kerajaan (NGO), persatuan dan Dewan Perniagaan membabitkan hampir sejuta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini menggesa supaya kerajaan melaksanakan semula moratorium secara menyeluruh (blanket) sekurang-kurangnya selama 6 bulan. 

 

Malah, gabungan kesatuan itu yang turut merangkumi 3.9 juta pekerja yang bekerja sendiri dan pemilik perniagaan mikro turut menolak bantuan bersasar yang diberikan bank-bank ketika ini.

 

Mereka menyifatkan bantuan bersasar tersebut 'tidak berkesan' untuk membantu menyelesaikan beban kewangan yang dihadapi golongan peniaga dan juga individu apabila kerajaan menguatkuasakan kembali perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh sejak 1 Jun lalu.

 

Sebaliknya, dalam sidang akhir secara maya yang diadakan petang ini anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), semua kesatuan itu berharap moratorium secara menyeluruh itu diberikan tanpa faeda sehingga 31 Disember atau apabila mencapai imuniti kelompok. 

 

Selain itu, katanya, moratorium itu juga perlu mempunyai satu pilihan saja iaitu ‘opt-out dan bagi mereka yang tidak mahukan moratorium ini, boleh menolaknya.

 

Gesaan mereka itu bersandarkan kepada sebab utama yang kukuh kerana ia tidak akan menjejaskan pendapatan bank secara menyeluruh.

 

"Sebenarnya, bank mempunyai kemampuan ini (moratorium) kerana lapan bank tempatan memperoleh keuntungan sebanyak RM93 bilion dalam tempoh tiga tahun terakhir ini. 

 

“Moratorium menyeluruh ini pula hanya akan menjejaskan sekitar RM6.4 bilion atau 7 peratus daripada keuntungan tiga tahun itu atau 20 peratus daripada keuntungan mereka pada 2020," tegasnya.

 

Menurutnya lagi, kerajaan pada 2008 dan 2009 telah menyelamatkan sistem kewangan termasuk bank dengan dana sebanyak RM70 bilion, lebih 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

“Penerima faedah utama adalah bank yang ketika itu dibebani dengan risiko dan had kredit yang tinggi. 

 

"Lantaran itu, kami merasakan industri perbankan harus mengambil sikap kembali membantu ketika negara berada dalam krisis ketika ini,” katanya.

 

Pada 2 Jun lalu, gabungan kesatuan ini telah mengemukakan surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon pelaksanaan semula moratorium menyeluruh supaya golongan peniaga dan individu dapat berdepan dengan krisis akibat pandemik COVID-19.

 

Setiausaha Agung MAICCI, Datuk AT Kumarajah yang bertindak sebagai moderator berharap kerajaan mendengar permohonan ini dan memberikan moratorium penuh dengan kadar segera.

 

Sementara itu, Penasihat Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA), Datuk Ameer Ali Mydin berkata, bantuan bersasar hakikatnya tidak begitu efektif kerana ia adalah terhad kepada pihak-pihak tertentu. 

 

Atas sebab itu, katanya, ia memerlukan satu bentuk yang memudahkan dan mereka boleh membuat pilihan atau tidak pemberian moratorium itu.

 

"Saya memberi contoh, kakitangan kerajaan yang menerima gaji dan jika mereka tidak mahu moratorium ini, terpulang kepada mereka. 

 

"Tetapi, perkara ini mungkin sebaliknya kepada pekerja dalam sektor swasta yang terkesan dan memerlukan moratorium," katanya.

 

 

PKP
Kebimbangan terhadap PKP secara berterusan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 boleh menyebabkan lebih banyak syarikat gulung tikar jika tiada bantuan sewajarnya daripada kerajaan.

 

 

Naib Presiden Malaysia Retailers Association (MRA), Raymond Teo pula berkata, banyak perniagaan ketika ini berhadapan dengan aliran tunai yang tidak stabil apabila pandemik itu berlarutan dalam tempoh yang lama.

 

Katanya, kesatuan bukan meminta bank melupuskan pembiayaan cuma meminta ia ditangguhkan buat sementara waktu sekurang-kurangnya 6 bulan.

 

“Moratorium bersasar tidak memberi penyelesaian yang baik kepada perniagaan. Ini kerana MRA mempunyai ahli dengan pekerja yang banyak, penutupan beberapa sektor runcit menjejaskan operasi dan kewangan mereka," tambahnya. 

 

Dalam pada itu, Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman berkata, kebanyakan bank-bank di Malaysia secara dasarnya sebahagian pegangannya dimiliki oleh syarikat milik kerajaan (GLC), justeru, ia sepatutnya bukan alasan kepada mereka untuk membantu golongan yang memerlukan ini. 

 

Pada masa sama katanya, kerajaan perlu menggunakan ordinan darurat ketika ini untuk berbincang dengan pihak bank bagi memberikan moratorium menyeluruh ini.

 

"Ketika ini negara dalam situasi darurat dan keperluan rakyat adalah perkara utama yang perlu difikirkan semua pihak," katanya. - DagangNews.com