Gagal kemuka laporan tahunan, dagangan saham SCIB akan digantung mulai 9 Nov | DagangNews Skip to main content

Gagal kemuka laporan tahunan, dagangan saham SCIB akan digantung mulai 9 Nov

 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 3 Nov - Bursa Malaysia Securities Bhd. (Bursa Securities) akan menggantung urus niaga Sarawak Consolidated Industries Bhd. (SCIB) ekoran kegagalannya mengemukakan laporan tahunan dalam tempoh masa ditetapkan.

 

Dalam makluman hari ini, Bursa Securities berkata, SCIB gagal mengeluarkan laporan tahunannya yang merangkumi penyata kewangan teraudit tahunan bersama dengan laporan juruaudit dan pengarah bagi tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2021 kepada Bursa Securities untuk siaran awam dalam tempoh masa yang ditetapkan iaitu 31 Oktober 2021, menurut perenggan 9.23(1) Pematuhan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Securities (LR).

 

Ia juga menyebut, menurut perenggan 9.28(5) LR, sekiranya penerbit gagal mengemukakan penyata kewangan tertunggak dalam tempoh 5 hari selepas tamat tempoh masa berkaitan seperti dinyatakan dalam 9.23(1) LR, sebagai tambahan kepada sebarang penguatkuasaan terhadap tindakan yang diambil Bursa Securities, akan menggantung dagangan dalam sekuriti penerbit tersebut. 

 

Jelasnya, penggantungan itu akan dilaksanakan pada hari pasaran berikutnya selepas Tarikh Akhir Penggantungan.

 

"Merujuk kepada perkara di atas dan sekiranya SCIB tidak dapat menyerahkan Laporan Tahunan 2021 tertunggak pada atau sebelum 8 November 2021, dagangan sekuriti syarikat akan digantung berkuat kuasa pukul 9.00 pagi, Selasa, 9 November 2021 sehingga diberitahu kelak.

 

"Menurut peranggan 9.28(6) LR, jika penerbit tersenarai gagal mengemukakan penyata kewangan tertunggak dalam tempoh 6 bulan dari tamat tempoh sama berkaitan, sebagai tambahan kepada tindakan penguatkuasaan yang diambil Bursa Securities, prosedur nyahsenarai hendaklah dimulakan terhadap penerbit tersenarai," katanya.  

 

Ketika mengakhiri dagangan petang ini, saham SCIB susut 1 sen atau 4.88% kepada 19.5 sen dengan 19.09 juta saham diniagakan, menjadikan nilai pasaran syarikat pada RM113.5 juta.

 

 

Baca : SCIB's annual report 2021 to be issued on 31 December 2021

 

 

Pada 26 Oktober lalu, SCIB memaklumkan permohonan lanjutan tempoh (EOT) bagi menyiapkan Laporan Tahunan 2021 kumpulan itu ditolak Bursa Securities.

 

Sebelum itu, pada 8 Oktober, SCIB memohon EOT sehingga 31 Disember 2021 bagi melengkapkan pengauditannya ke atas penyata kewangan untuk tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2021 Kumpulan SCIB supaya ia boleh dimasukkan dalam Laporan Tahunan 2021, berikutan usaha berkenaan terkesan akibat perubahan juruaudit luar dan sekatan pergerakan di Malaysia serta antarabangsa susulan pandemik COVID-19.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rosland Othman berkata, walaupun terdapat berita yang tidak menyenangkan mengenai syarikat itu baru-baru ini, SCIB komited untuk mematuhi semua peraturan berkaitan serta memenuhi tarikh akhir. 

 

"Walaupun Nexia berusaha menyelesaikan audit, kami tidak dapat memenuhi tarikh akhir kerana ia terlalu hampir. 

 

"Kami mengemukakan rayuan kepada Bursa Securities tetapi menerima pertanyaan lanjut daripada bursa pada 26 Oktober 2021 bagi mendapatkan beberapa penjelasan mengenai rayuan terbabit," jelas beliau dalam kenyataan sebelum ini. - DagangNews.com