Gagasan Nadi Cergas mulakan perjanjian 30 tahun bekalan air sejuk ke pusat beli-belah Datum Jelatek | DagangNews Skip to main content

Gagasan Nadi Cergas mulakan perjanjian 30 tahun bekalan air sejuk ke pusat beli-belah Datum Jelatek

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 27 Jan - Kumpulan pembinaan Gagasan Nadi Cergas Berhad memulakan perjanjian bekalan selama 30 tahun untuk menyediakan air sejuk dari Sistem Penyejukan Daerah (DCS) ke pusat beli-belah Datum Jelatek di Gombak, Selangor. 

 

Pengarah Urusan Kumpulan Gagasan Nadi Cergas, Wan Azman Wan Kamal berkata, Naditech Energy Sdn Bhd (NESB), anak syarikat Kumpulan, telah mencapai Tarikh Operasi Komersialnya pada 3 Januari 2022 untuk menjana dan membekalkan 2,100 RT air sejuk ke pusat beli-belah itu, merangkumi jumlah kawasan boleh disewakan seluas 317,011.5 kaki persegi. 

 

Pusat beli-belah itu dijangka beroperasi secara rasmi pada separuh pertama 2022.

 

"Kami sedang membina rekod prestasi dalam penyediaan tenaga yang cekap kos, berdasarkan kejayaan mengendalikan DCS di kampus pendidikan tinggi selama 14 tahun yang lalu.

 

“Dengan pengalaman yang diperoleh sebelum ini, kami percaya kami boleh mengulangi kejayaan untuk perjanjian bekalan air sejuk selama 30 tahun dengan pusat beli-belah Datum Jelatek, dan seterusnya menyokong operasi pusat beli-belah dengan perkhidmatan utiliti yang cekap dan berpatutan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambahnya, Melangkah ke hadapan, Kumpulan akan terus memanfaatkan cadangan nilainya dalam bidang ini, dan mencari peluang lain yang serupa untuk meningkatkan lagi asas pendapatannya.

 

Pusat beli-belah itu adalah sebahagian daripada Pembangunan Datum Jelatek dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM1.2 bilion, yang merupakan pembangunan komersial bersepadu yang terdiri daripada pusat beli-belah runcit, 712 unit pangsapuri perkhidmatan, ruang letak kereta, jambatan pejalan kaki dan kemudahan lain.

 

Gagasan Nadi Cergas terlibat terutamanya dalam empat segmen perniagaan, iaitu pembinaan bangunan, penyediaan perkhidmatan pengurusan kemudahan, operasi sistem penyejukan daerah untuk bekalan air sejuk dan pengagihan elektrik, dan pembangunan hartanah.

 

Antara projek terkenal yang disiapkan oleh Kumpulan termasuk Institut Jerman-Malaysia, Institut Teknologi Penerbangan Malaysia, Kem Batalion Ke-4 untuk Pasukan Gerakan Am, dan tujuh asrama pelajar di kampus politeknik di enam negeri semenanjung. 

 

Gagasan Nadi Cergas juga telah mengambil bahagian dalam menjalankan program inisiatif perumahan seperti Rumah Selangorku, perumahan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), dan Perumahan Penjawat Awam (PPAM). -DagangNews.com