Gaji minimum: Ini pendapat Sin Chew Jit Poh, Nanyang Siang Pao | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 26 March 2022

GAJI MINIMUM: INI PENDAPAT SIN CHEW JIT POH dan NANYANG SIANG PAO

Sin Chew Jit Poh, Nanyang Siang Pao 24 Mac 2022

 

 

PADA 19 Mac 2002, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri membawa kejutan dengan mengumumkan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 dalam ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO 2021.

 

Berkuatkuasa pada 1 Mei, sudah tentu ada yang menyokong dan ada yang membantah. Bagi yang menyokong berpendapat sistem tersebut dapat meningkatkan taraf hidup pekerja peringkat rendah dan merangsang aliran tunai dalam pasaran.

 

Mereka yang menentang pula percaya bahawa ia akan meningkatkan kos operasi perusahaan yang akhirnya akan ditanggung oleh pengguna akhir juga. Paling teruk ialah perusahaan kecil akan terjejas dan gagal, meningkatkan lagi isu pengangguran dan kemiskinan.

 

Adakah pengumuman PM ini benar-benar atas sudut ekonomi atau sebenarnya pertimbangan politik? Langkah ini akan memberi manfaat kepada golongan berpendapat rendah termasuklah pekerja asing.

 

Tetapi adakah ia dapat membantu meningkatkan sokongan pengundi kepada UMNO? Kesannya mungkin agak terhad.

 

Bagaimana pula sudut ekonomi, adakah ini masa yang sesuai untuk kenaikan dengan mengambil kira nasib perusahaan kecil dan sederhana selepas wabak melanda?

 


 

PM

 


 

Ini adalah kali kelima kerajaan menyelaraskan gaji minimum sejak 2013. Bagaimanapun melihat kepada persekitaran ekonomi, penyelarasan gaji minimum kepada RM1,500 sangat berbeza daripada empat yang sebelum ini.

 

Situasi ekonomi semasa berubah akibat pandemik COVID-19 tambahan dengan peperangan di Rusia dan Ukraine telah menyebabkan harga minyak mentah tinggi dan seterusnya meningkatkan harga bahan mentah. Keadaan ini menambahkan ketidakpastian ekonomi dunia termasuklah negara kita.

 

Seperti yang kita sedia maklum, banyak syarikat mengalami masalah logistik, bahan mentah dan kos operasi yang tinggi.

 

Apabila kerajaan menaikkan gaji minimum kepada RM1,500, maka kos operasi syarikat besar akan meningkat dan menyebabkan mereka terpaksa menyalurkan kos tersebut kepada pengguna.

 

Harga barang naik, beban hidup golongan pertengahan dan bawahan bertambah sukar.

 

Tidak dinafikan sesetengah perusahaan besar akan menghentikan pekerja untuk mengurangkan kos gaji, mereka yang kurang berkemahiran pasti akan kehilangan pekerjaan.

 

Begitu juga dari sudut pelaburan, gaji dan kos operasi sentiasa menjadi satu pertimbangan penting untuk menggalakkan pelaburan asing.

 


 

apa

 


 

Kita percaya bahawa semasa menaikkan gaji minimum, kerajaan harus membuat pertimbangan menyeluruh dan dasar gaji mesti mengambil kira buruh dan pengurusan.

 

Jika kerajaan berkeras, maka perusahaan besar harus diberi sedikit subsidi gaji atau insentif cukai. Ini bagi mengelakkan peningkatan kos perusahaan, kenaikan harga barang dan berlaku masalah pemberhentian pekerja.

 

Baru-baru ini PM ada mengatakan bahawa ekonomi negara menunjukkan arah aliran pemulihan, kadar pertumbuhan pada 2022 dianggarkan antara 5.5% dan 6.5%.

 

Kita mesti faham bahawa lantunan semula dalam jumlah ini adalah disebabkan oleh kemelesetan yang teruk pada tahun lepas dan rakyat tidak akan ambil peduli dengan angka ini.

 

Rakyat marhaen juga tidak terjentik dengan apa yang dipanggil pemulihan ekonomi, tetapi sangat terkesan dan sensitif dengan perkataan inflasi. Kita keluar membeli barangan keperluan harian dan makanan, pastinya merasakan tekanan kenaikan harga.

 

Pelaksanaan sistem gaji minimum tanpa perbincangan dan komunikasi pasti akan memberi kesan buruk kepada perusahaan, mungkin memburukkan lagi kenaikan inflasi.

 

Keadaan ini mewujudkan tiga kerugian iaitu kerajaan, perusahaan dan rakyat. Kerajaan perlu mentadbir negara secara pragmatik, membangunkan ekonomi dan membendung inflasi.

 


 

apa

 


 

Sama ada menjadi negara maju bukan lagi isu utama, slogan seperti Mahathir dulu sudah tidak membantu. Tugas paling mendesak kini adalah membiarkan rakyat merasaikan tindakan positif kerajaan, mempercepatkan kenaikan dan penurunan harga supaya tidak membebankan rakyat biasa kelas pertengahan dan bawahan.

 

Menaikkan gaji minimum adalah perkara yang baik untuk pekerja bergaji rendah, tetapi niat baik kerajaan itu perlu memastikan tiada perkara buruk yang akan berlaku pula.

 

Walaupun matlamatnya adalah untuk melindungi pekerja akar umbi, tetapi selepas melaksanakannya, kadang kala ia akan menjadi bumerang. - DagangNews.com

 

 

Artikel-artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh dan Nanyang Siang Pao 24 Mac 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags