Gaji minimum RM1,500 bermula 1 Mei 2022 di seluruh negara | DagangNews Skip to main content

Gaji minimum RM1,500 bermula 1 Mei 2022 di seluruh negara

Kajian impak telah dilaksanakan secara mendalam termasuk kesannya kepada PMKS.

KUALA LUMPUR 19 Mac - Kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan mulai 1 Mei 2022 di seluruh negara, umum Perdana Menteri hari ini.

 

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kos sara hidup semakin meningkat. Ini akan menekan golongan B40 dan beliau mendengar perbahasan yang dibawa oleh para perwakilan dan keluhan rakyat di luar sana.

 

Menurutnya, kajian impak telah dilaksanakan secara mendalam termasuk kesannya kepada PMKS.

 

''Oleh itu, pelaksanaan gaji minimum ini hanya melibatkan majikan sektor swasta yang mempunyai lima orang pekerja ke atas,'' kata beliau dalam ucapan penggulungan Naib Presiden UMNO di Perhimpunan Agung UMNO 2021 di sini hari ini.

 

Selain itu kata Perdana Menteri, Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) bagi memanfaatkan lebih ramai iaitu hampir 9 juta penerima dengan implikasi kewangan berjumlah RM8.2 bilion pada hujung bulan ini.

 

Menurut beliau, BKM telah ditambah baik daripada bantuan tunai langsung sebelum ini.

 

Nilai bantuan ditambah mengikut klasifikasi bilangan anak bagi isi rumah yang tidak mempunyai anak, mempunyai seorang hingga dua orang anak dan isi rumah yang mempunyai 3 orang anak atau lebih serta memperkenalkan kadar tambahan bagi kategori isi rumah terhad kepada ibu/bapa tunggal (IBT) dan warga emas.

 

Perdana Menteri berkata, beliau juga banyak mendengar keluhan daripada perwakilan berkaitan pembangunan luar bandar, termasuk rakan-rakan dari Sabah.

 

''Saya beri jaminan kepada rakan-rakan di luar bandar, peruntukan sebanyak RM10.53 bilion bagi tahun 2022 untuk membantu dan memperkasakan masyarakat luar bandar. Insya-ALLAH ‘Membandarkan Luar Bandar’ dengan menyediakan segala kemudahan yang berkualiti dapat disediakan.

 

Mengenai Majlis Amanah Rakyat (MARA) kata Perdana Menteri, ia sebenarnya sangat dekat di hati UMNO kerana ia ditubuhkan hasil daripada Kongres Ekonomi Bumiputera yang mahu melihat untung nasib orang Melayu ketika itu dibela.

 

MARA kini mempunyai 344 institusi pendidikan dengan 1.4 juta pelajar. Bermula pendidikan peringkat menengah, Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) hinggalah Institusi Pendidikan Tinggi MARA.

 

''Alhamdulillah, MARA yang menjadi tonggak dalam membantu ekonomi dan pendidikan orang melayu bumiputera banyak melahirkan orang melayu pakar ekonomi, pakar bedah, peguam, guru, ahli korporat, bahkan saya sendiri merupakan penerima manfaat bantuan kewangan MARA ketika mendapat pendidikan lalu.

 

Kerajaan juga akan terus menyediakan pendidikan yang berkualiti untuk melahirkan graduan TVET adalah agenda utama pendidikan negara. TVET sudah pun menjadi pilihan utama kerjaya.

 

''Negara kita yang sering mengharapkan pekerja asing yang tinggi dalam pasaran buruh, wajib kita tangani dengan menyediakan graduan TVET berkualiti yang menepati keperluan industri.

 

''Kita akan memberi penekanan khusus untuk Pendidikan TVET negara. Majlis TVET Negara akan mempergiatkan segala perancangan agar TVET menjadi pilihan pertama, agar tidak lagi kedengaran TVET ini sebagai pilihan terakhir bagi anak bangsa dan belia untuk melanjutkan pelajaran juga kerjaya seperti negara maju yang lain,'' jelasnya.

 

Mengenai wanita, Perdana Menteri berkata, sempena sambutan Hari Wanita 2022, beliau mengumumkan 6 inisiatif bagi memastikan wanita Malaysia terus diperkasa.

 

''Sebagai contoh isteri yang kematian suami diberikan kebenaran bekerja dari rumah. Juga kita akan beri sebanyak 30% kuota wanita dalam Lembaga Pengarah GLC/GLIC,'' kata Ismail Sabri. - DagangNews.com