Galaxy Z Fold2 kini di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Galaxy Z Fold2 kini di Malaysia

 Galaxy Z Fold2

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 25 Sept. - Samsung Malaysia Electronics secara rasminya mengumumkan pelancaran telefon pintar berteknologi tinggi, Galaxy Z Fold2 di negara ini.

Presidennya, Yoonsoo Kim berkata, Galaxy Z Fold2 merupakan teknologi telefon pintar yang mempunyai kelebihan skrin lipat serta ketahanan bateri yang lebih lama.

"Galaxy Z Fold2 adalah peranti yang merumuskan semula reka bentuk telefon pintar dan teknologi mudah alih.

"Ia memiliki revolusi dan inovasi lipatan dan daya tahan yang dipertingkatkan. Skrin yang lebih bergaya, susun atur aplikasi yang dioptimum, paparan skrin penuh, ciri pelbagai guna yang dipertingkat kepada mod flaksibel inovatif yang digabung bersama dalam teknologi telefon lipat serta mampu mengubah masa hadapan," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Galaxy Z Fold2 dicipta dengan rekaan serba baharu bersama skrin penutup 6.3 inci yang lebih besar selian skrin utama berukuran 7.6 inci dengan paparan Infinity-0.

Ia tampil sebagai telefon pintar sekiranya dilipat dan menjadi tablet apabila lipatan tersebut dibuka.

Galaxy Z Fold2 menampilkan reka bentuk yang lebih berani bersama kejuruteraan halus oleh pakar dan teknologi yang hebat.

Telefon pintar itu juga boleh didapati dalam dua pilihan warna iaitu Mystic Black dan Mystic Bronze.

Ia dijual dengan harga runcit yang disyorkan (RPP) iaitu RM7,999.

Pelanggan yang membuat pembelian pada 25 September hingga 31 Oktober 2020 berpeluang menerima hadiah hebat seperti sepasang Buds Live yang bernilai RM699 dan satu kali perlindungan keretakan skrin.

Promosi pelancaran lain yang turut ditawarkan ialah;

  • Trade-in telefon pintar lama dengan penjimatan hingga RM3,940 untuk Galaxy Z Fold2.
  • Pembelian Z Fold2 case dengan potongan 20% bagi setiap pembelian peranti Galaxy Z Fold2 (promosi berakhir pada 25 Oktober).

 Galaxy Z Fold2

Dengan pembelian Galaxy Z Fold2 juga, pemilik berhak mendapat faedah perkhidmatan pelanggan percuma seperti careline Premium (24 jam/7 hari), perkhidmatan pengambilan dan pengahantaran percuma, bantuan pemindahan data, pemeriksaan diagnostik dan barisan khusus di Pusat Khidmat Pelanggan Samsung yang diiktiraf. - DagangNews.com