Gamuda beli tanah di Vietnam bernilai RM228.5 juta | DagangNews Skip to main content

Gamuda beli tanah di Vietnam bernilai RM228.5 juta

Binh Duong New City, yang terletak 32 kilometer dari Ho Chi Minh, dihubungkan dengan pelbagai akses pengangkutan. - Gambar hiasan
 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Okt. - Gamuda Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya di Vietnam, Gamuda Land HCMC Joint Stock Company membeli tanah seluas 5.6 hektar di Binh Duong New City, Vietnam bernilai AS$53.88 juta (RM228.5 juta).

 

Pembelian tanah itu diperoleh daripada Binh Duong Trade and Development Joint Stock Company, syarikat milik negara yang ditubuhkan pada 2015 dan disenaraikan di Ho Chi Minh City Stock Exchange.

 

Tanah UG5.6 Land itu merupakan sebahagian daripada kawasan perbandaran bersepadu yang akan menjadi pusat pentadbiran wilayah Binh Duong yang makmur di Vietnam.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, Gamuda berkata, ia bercadang untuk membangunkan 349 unit  hartanah dengan campuran kediaman townhouse dan rumah kedai, untuk memenuhi pasaran tempatan.

 

"Pembangunan ini akan memanfaatkan kehadiran banyak institusi pendidikan di kawasan sekitarnya termasuk Universiti Vietnam-jerman dan Sekolah Antarabangsa Singapura yang menjadi tarikan kepada mereka yang berkeluarga dan tenaga kerja berkemahiran tinggi," katanya hari ini. 

 

Binh Duong New City, yang terletak 32 kilometer dari Ho Chi Minh, dihubungkan dengan pelbagai akses pengangkutan termasuk pengangkutan Aliran Transit Ringan (MRT) pada masa akan datang dan rangkaian Bas Rapid Transit serta North-South Railway.

 

Menurut Gamuda, pengambilalihan tanah itu dijangka dimuktamadkan pada suku ketiga 2022.

 

Jelasnya, langkah itu adalah sejajar dengan tumpuan kumpulan untuk memberi penekanan kepada projek antarabangsa dalam portfolionya, yang merangkumi dua pertiga daripada jualan hartanah pada tahun kewangan 2021.

 

"Strategi ini memperlihatkan kumpulan melalui prospek ekonomi yang mencabar pada suku terakhir, dengan menyediakan pendapatan yang stabil di tengah-tengah ketidaktentuan sentimen dan turun naik mata wang yang lemah di pasaran domestik," jelasnya.

 

Gamuda berkata, dengan nilai pembangunan kasar AS$117 juta (RM495 juta), pengambilalihan tanah itu dijangka menyumbang kepada pendapatan kumpulan.

 

"Pertimbangan pembelian ini akan dibiayai menerusi dana dalaman dan oleh itu, ia tidak menjejaskan gearan Gamuda," tambahnya. - DagangNews.com