Gamuda berharap projek MRT3 disenaraikan dalam Bajet 2021 | DagangNews Skip to main content

Gamuda berharap projek MRT3 disenaraikan dalam Bajet 2021

mrt

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Julai - Syarikat pembinaan Gamuda Berhad berharap projek mega Laluan 3 Aliran Transit Massa (MRT3) Lembah Klang akan turut disenaraikan dalam peruntukan Pembentangan Belanjawan 2021 pada bulan November depan.

Gamuda mendedahkan perkara berkenaan kepada Maybank Investment Bank Research (Maybank IB) ketika Invest ASEAN 2020 yang berlangsung baru-baru ini.

Projek MRT3 yang akan mengganjarkan pelbagai manfaat dan keuntungan kepada syarikat itu sebelum ini didakwa mungkin ditangguh memandangkan ekonomi negara terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Pada bulan Jun lalu, pemegangan saham asing Gamuda telah menyusut lebih jauh kepada 23% sekali gus mencecah paras terendah sejak Ogos 2015 (20%).

“Salah satu pemangkin kepada situasi itu adalah kewujudan semula projek MRT3 oleh kerajaan yang mempunyai nilai awal sebanyak RM45 bilion,” jelas Maybank IB. 

Maybank IB melaporkan, Gamuda kini masih dalam proses membangunkan MRT2 yang kini telah mencapai 75% tahap pembinaan dan dijangka siap menjelang 2022. 

Selain projek mega MRT oleh kerajaan, Gamuda telah dilantik oleh kerajaan Pulau Pinang sebagai rakan pelaksana projek (PDP) bagi Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP). 

Maybank IB berkata, dana yang diperoleh daripada 40% jualan saham di SPLASH iaitu RM760 juta setakat pembayaran pertama akan digunakan sebagai modal untuk komponen Penambakan Pulau Pinang Selatan (PSR) PTMP.

Gamuda merupakan sebuah firma pembinaan terkemuka yang telah menyumbang kepada pelbagai pembinaan terowong.

Keupayaan ini membolehkan Gamuda memperoleh pelbagai projek infrastruktur mega di negara ini. - DagangNews.com