Skip to main content

Gandingan 2 sosok pengemudi bahtera kepimpinan negara (SURAT PEMBACA)

Saudara Pengarang,

 

Menelusuri susur jejak kemudi bahtera kepimpinan negara, kita tidak dapat menafikan sama sekali bahawa tumpuan dua sosok yang menjadi perhatian utama ketika ini. Figura yang pertama merupakan ketua negara Malaysia manakala seorang lagi adalah ketua kerajaan Malaysia yang menerajui 3 jentera utama kerajaan (legislatif, eksekutif dan kehakiman).

 

Ini kerana sejarah kepimpinan negara telah, sedang dan sudah tentu merupakan saksi abadi terhadap segala keputusan dan dasar sama ada yang diperkenankan ataupun diputuskan menerusi konsep musyawwarah demi menghayati roh dan semangat yang berpaksikan kepada demokrasi berparlimen; bersama-sama dengan Raja Berperlembagaan demi manfaat rakyat secara tuntas; lebih-lebih lagi pada saat-saat yang serba mencabar ini.

 

Ya, menjujung kasih kepada sosok pertama yang penulis ingin rakamkan sembah adalah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah manakala insan yang kedua pula merupakan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-9.

 

Adalah sesuatu yang cukup menarik untuk penulis zahirkan di lembaran ini bahawa kedua-dua figura terhormat ini merupakan anak jati kelahiran sebuah negeri yang sarat dengan semangat hebat legasi kepahlawanan Mat Kilau dan Datuk Bahaman; Pahang Darul Makmur.

 

Menyentuh akan gaya dan karisma kepimpinan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah yang telah melafaz sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong  pada 31 Januari 2019, sesungguhnya Baginda telah dipersiapkan dengan pendedahan terhadap hal-ehwal pemerintahan serta selok-belok sebagai bakal pemimpin negara sejak dari permulaan lagi.

 

Jika ditinjau dari segi pengalaman dan pengetahuan dalam urusan pentadbiran, agak menarik juga untuk dikongsikan di sini bahawa Seri Paduka Baginda telah dilantik sebagai Tengku Mahkota Pahang bagi tempoh yang agak lama iaitu selama hampir 44 tahun.

 

Segala pengalaman yang telah ditimba telah berjaya mengaruhi gaya kematangan Seri Paduka Baginda dalam membuat pertimbangan berkaitan dengan penuh berhati-hati berdasarkan kepada Fasal 40 Perlembagaan Persekutuan menurut budi bicaranya berkaitan dengan urusan lantikan Perdana Menteri.

 

Kemuncaknya, apabila terjadinya krisis politik iaitu dalam tahun-tahun pemerintahan Seri Paduka Baginda (2019 dan 2020) dalam kalangan saf kepimpinan daripada Pakatan Harapan (PH), Seri Paduka Baginda telah berjaya menggunakan hemat bijaksana Baginda bagi menyelesaikan kemelut tersebut demi kemaslahatan rakyat jelata; bak kata pepatah ‘seperti menarik rambut di dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak’.

 

Situasi kemelut politik tanahair yang bagaikan tidak pernah ‘aman dan seringkali bergolak’ ini turut berulang lagi pada tahun 2021 yang menyaksikan tumbangnya kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila 14 Ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan kepadanya, menyebabkan majoriti kerajaannya menyusut sekali gus memaksa beliau meletakkan jawatan pada 16 Ogos 2021.

 

Dari sisi yang lain pula, dalam membaca lembaran sejarah jatuh bangun  Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob sebaik sahaja beliau nekad untuk terjun ke dunia politik seawal 1987, kita juga tidak dapat menafikan bahawa beliau memiliki kronologi karier politik yang agak lama sepanjang berkhidmat di pelbagai kementerian.

 

 

ismail sabri
YANG Di-Pertuan Agong menyampaikan watikah pelantikan sebagai Perdana Menteri ke-9 kepada Ismail Sabri Yaakob pada 20 Ogos 2021.

 

 

Antara ujian ‘terbesar’ beliau adalah diberikan tanggungjawab untuk menggalas 2 tugas yang cukup berat sepanjang situasi COVID-19 iaitu memegang portfolio Menteri Pertahanan, selain diberikan tanggungjawab sebagai Menteri Kanan (Kluster Keselamatan).

 

Pada sisi yang lain pula, beliau turut diuji dengan kontroversi; contohnya seringkali didakwa mengeluarkan pelbagai kenyataan peribadi yang dianggap berbaur perkauman sepanjang memegang jawatan di pelbagai kementerian sebelum ini.

 

Satu trivia yang cukup menarik untuk dikongsikan di sini ialah beliau memegang tampuk kepimpinan sebagai Timbalan Perdana Menteri yang paling singkat dalam sejarah negara iaitu menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 7 Julai lalu; di samping turut mengekalkan portfolio Menteri Kanan Pertahanan dalam tempoh masa yang agak singkat iaitu kurang daripada 2 bulan dan akhirnya mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-9 pada 20 Ogos 2021.

 

Namun, kita tidak menafikan sama sekali bahawa lantikan tersebut turut hadir bersama-sama dengan 1,001 amanah yang telah dipertanggungjawabkan di atas pundak beliau sebagai ketua kerajaan bagi memastikan agar kelangsungan kebajikan rakyat agar terus terbela; bertanggungjawab dan memiliki sifat amanah di samping turut berusaha untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang mencakupi pelbagai isu dan cabaran termasuklah kesihatan, ekonomi dan pendidikan pada saat-saat getir ini.

 

Ini ditegaskan lagi dengan penetapan sasaran setiap KPI bagi kementerian yang perlu dicapai dalam tempoh 100 hari tanpa sebarang toleransi.

 

Sesungguhnya, menerusi gandingan kedua-dua figura ini dalam mengemudi bahtera kepimpinan Malaysia yang tercinta setelah mencapai nikmat kemerdekaan yang ke- 64 pada tahun ini, adalah tidak mustahil bahawa negara ini akan terus mencipta kejayaan demi kejayaan kelak; berbekalkan semangat yang baharu nan jitu demi kelangsungan manfaat rakyat secara tuntas demi mengecapi kemakmuran bersama; terutamanya dalam menghadapi saat-saat getir ketika ini.

 

Diharapkan agar kedua-dua pemimpin utama ini akan terus melakar pelbagai ‘sejarah’ tanahair dalam merealisasikan slogan ‘Keluarga Malaysia’ menerusi ‘ Malaysia Prihatin’ kelak.

 

Dirgahayu Malaysia selamanya!

 

Mohd Ab Malek bin Md Shah
Melaka