Skip to main content

Gantung dagangan hari ini, Digi-Axiata bergabung?

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 April - Urus niaga saham Axiata Group Bhd dan Digi.Com Bhd. digantung sementara waktu susulan pengumuman yang akan dibuat, menurut makluman berasingan berkenaan di Bursa Malaysia pagi ini.

 

Penggantungan dagangan itu bermula 9 pagi hingga 5 petang hari ini. 

 

Digi turut memaklumkan, semua struktur waran berkaitan Digi juga akan digantung pada masa yang sama.

 

Ini secara tidak langsung mencetuskan spekulasi ke arah penggabungan syarikat telekomunikasi antara Axiata dan syarikat induk Digi, Telenor ASA. 

 

Bulan lalu, Starbiz melaporkan terhadap rundingan antara Telenor dan Axiata bagi langkah penggabungan. 

 

Pada Mei 2020, Axiata pernah mengumumkan, ia sedang berunding dengan Telenor bagi menggabungkan operasinya di Asia, yang akan menyaksikan Telenor muncul sebagai pemegang saham majoriti dalam MergedCo dengan memiliki 56.5% manakala Axiata, 43.5%. 

 

Dalam nota kajian Mac lalu, Kenanga Research tidak menolak kemungkinan berlaku penggabungan dan pengambilalihan (M&A) dalam industri susulan kerjasama antara 3 syarikat telekomunikasi di negara ini antara Celcom, Digi dan Maxis. 

 

BACA DI SINI : Tidak mengejutkan jika telco bergabung - Kenanga

 

Ketiga-tiga syarikat itu memuktamadkan perjanjian itu bagi tempoh selama 20 tahun bagi membolehkan peningkatan sambungan 4G kepada seluruh rakyat Malaysia dan menambahkan infrastruktur fiber negara seiring aspirasi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) serta mempersiapkan infrastruktur menara untuk rangkaian 5G pada masa depan. - DagangNews.com

 

CELCOM-Digi : Timbul semula cerita gabung didorong kewujudan DNB?