Garis panduan jantina RSPO kukuhkan peranan wanita dalam industri sawit | DagangNews Skip to main content

Garis panduan jantina RSPO kukuhkan peranan wanita dalam industri sawit

Garis panduan jantina RSPO kukuhkan peranan wanita dalam industri sawit

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 April - Peranan golongan wanita dalam industri sawit menjadi lebih penting melalui Garis Panduan Jantina yang dikeluarkan oleh Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO).

 

Garis panduan tersebut dikenali sebagai Garis Panduan Praktikal Rangkuman Jantina dan Pematuhan terhadap Prinsip dan Kriteria RSPO 2018 (P&C) serta Standard Pemegang Kecil Bebas 2019 (ISH).

 

Eksekutif Kanan, Standard Sosial dan Hak Asasi Manusia RSPO, Prasad Vijaya Segaran berkata, Garis Panduan Jantina itu menekankan peranan penting yang dimainkan oleh golongan wanita dalam industri minyak sawit dan keperluan untuk mengukuhkan komitmen terhadap hak-hak wanita.

 

"Wanita memberikan sumbangan yang penting kepada sektor minyak sawit, namun mereka juga menghadapi risiko yang unik - daripada pemilikan tanah yang tidak diiktiraf, peluang pekerjaan yang tidak sama hinggalah kepada kurangnya perlindungan dari segi fizikal dan kewangan.

 

"Dalam sebuah industri yang telah lama dikuasai oleh golongan lelaki, terdapat keperluan mendesak untuk menangani risiko ini dengan mengintegrasikan lebih banyak pandangan dan amalan kesamaan jantina ke dalam operasi syarikat pengeluar minyak sawit.

 

"Hal ini akan menyumbang kepada kesejahteraan dan punca pendapatan golongan lelaki, wanita dan syarikat-syarikat tempat mereka bekerja," jelasnya dalam satu kenyataan.

 

Garis Panduan Praktikal Rangkuman Jantina dibangunkan oleh Kumpulan Kerja Hak Asasi Manusia RSPO (HRWG) dengan rundingan bersama Fair & Sustainable Consulting,

 

Garis Panduan Jantina tersebut berfungsi sebagai panduan yang praktikal untuk meningkatkan kesamaan jantina. 

 

Ia melengkapkan ahli RSPO dengan manual yang menerangkan tentang asas kepada perniagaan yang merangkum jantina, sumber pendidikan tentang kekangan berasaskan jantina dan syor untuk tindakan lanjut. 

 

Dalam pada itu, garis panduan tersebut turut menampilkan kes yang dirujuk daripada pelbagai pihak berkepentingan dan pengamal, hasil daripada pengalaman kolektif mereka selama bertahun-tahun dalam sektor sawit dan menangani isu-isu sensitif tentang jantina dalam kalangan tenaga kerja. - DagangNews.com