Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 6 Jan. - Kemudahan yang diberikan kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang terjejas dalam tempoh krisis COVID-19 melalui i-Sinar Akaun 1 memberi khabar gembira kepada 8 juta ahli yang layak.
Bermula 21 Disember lalu, pemohon Kategori 1 yang belum mencapai umur 55 tahun dan memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh KWSP boleh membuat permohonan.
Baca: i-Sinar dibuka kepada semua ahli KWSP
Lebih mengujakan apabila permohonan yang hanya dibuat melalui dalam talian itu berjaya diluluskan dengan mudah bagi Kategori 1.
Bermula semalam, ruangan media sosial dihujani dengan hantaran dan komen balas daripada sesetengah pemohon yang sudah mula menerima bayaran.
Bagaimanapun, pembayaran tersebut tidak diterima oleh semua pemohon kerana proses pembayaran yang dibuat oleh KWSP dilakukan secara berperingkat berdasarkan kepada tarikh permohonan dibuat.
Seorang juruteknik kilang, Firdaus Shakirin, 34, meluahkan kegembiraan apabila permohonan yang dibuat diluluskan dengan mudah dan berjaya menerima pembayaran.
Jelasnya, permohonan yang dibuat diluluskan pada 3 Januari (pukul 10.30 malam) dan menerima bayaran pada 5 Januari 2021 (pukul 1 tengah hari).
Ditanya berkaitan perancangannya untuk menggunakan wang tersebut, Firdaus memberitahu, wang yang diterima itu akan digunakan untuk keperluan harian rumah dan pertuntukan persekolahan anak.
"Perancangan itu, saya nak tambah barangan dapur, selesaikan yuran sekolah anak-anak dan membeli kelengkapan sekolah anak.
"Selepas itu, simpan tabung haji. Tak ada perancangan lain selain daripada keutamaan itu," jelasnya ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.
Penularan wabak COVID-19 sejak Mac lalu menjejaskan jumlah pendapatan Firdaus apabila tidak lagi berpeluang untuk bekerja lebih masa (over time).
Firdaus berjaya memperoleh i-Sinar bagi ketegori 1 dengan jumlah RM10,000.
Sementara itu, Suzilawati Ishak,39, berkongsi perancangan berbeza bagi dirinya dan keluarga.
Permohonan i-Sinar yang dibuat berjaya mendapat kelulusan KWSP dan pembayaran akan diterima pada 9 Januari nanti.
Meskipun belum menerima bayaran, beliau memberitahu, keutamaan baginya dan suami, Mohd. Suhairi Mohamad Shafiee adalah untuk menggunakan wang tersebut bagi menampung keperluan anaknya yang merupakan salah seorang OKU Cerebral Palsy (CP).
"Keutamaan saya untuk anak sulung kami yang kini berusia 10 tahun, kos ubatan, terapi dan lain-lain.
"Dan sekarang kami rancang untuk beli tempat mandi kepada anak kami. Anak saya sudah besar, saya tak larat untuk angkat dia kerana suami pun bekerja.
"Kos untuk tempat mandi sahaja sudah mencecah RM5,000. Peralatan untuk OKU memang menelan kos yang terlalu tinggi," jelasnya.
Sejak melahirkan anak sulungnya itu 10 tahun lalu, Suzilawati yang dahulunya berkhidmat sebagai kerani di sebuah syarikat tidak lagi bekerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa.
Bekas pengawal keselamatan di ibu kota Kuala Lumpur, Mohd. Ellmy Yusry Ismail, 40, berkongsi perancangan dirinya yang bakal menerima bayaran i-Sinar sebelum 15 Januari nanti.
Ujarnya, wang yang akan diterima itu akan digunakan dengan sebaik mungkin untuk tujuan pelaburan yang disahkan dan selamat daripada apa jua risiko.
Jelasnya, perancangan itu dibuat kerana dia dan isteri merancang untuk bersara daripada bekerja dalam tempoh 10 tahun akan datang.
"Wang itu saya nak gunakan untuk tujuan pelaburan yang selamat dan berdaftar. Mungkin dalam Tabung Haji, ASB dan lain-lain," tambahnya.
Mohd. Ellmy menamatkan perkhidmatan sebagai pengawal keselamatan di Kuala Lumpur sejak dua tahun lalu dan menjalankan perniagaan warung makanan di daerah Kunak, Sabah bersama isteri.
Dalam wawancara tersebut, Mohd. Ellmy turut menasihati orang ramai yang bakal menerima i-Sinar untuk menggunakan wang tersebut dengan sebaik mungkin.
Dia mengharapkan orang ramai untuk menggunakan wang tersebut untuk mencari alternatif lain yang boleh menjana pendapatan kepada diri dan keluarga bagi mendepani cabaran wabak COVID-19.
"Kalau diperhatikan, ada dua golongan pemohonn i-Sinar sebenarnya. Satu memang golongan yang memerlukan untuk membayar hutang semasa tempoh PKP, menghidupkan semula perniagaan yang terpaksa ditutup dan lain-lain.
"Golongan kedua adalah mereka yang sengaja membuat permohonan dengan niat menggunakan duit tersebut berbelanja berdasarkan kehendak seperti 'upgrade' kereta, beli telefon pintar baharu dan lain-lain.
"Dalam 100 orang pencarum, yang betul-betul memerlukan wang tersebut sangat sedikit. Sebab itu pihak KWSP menetapkan kriteria untuk mengelakkan pengeluaran tanpa keperluan terus berlaku," tambahnya lagi.
Pada 10 Disember lalu, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Fraziali Ismail turut menyuarakan amaran kepada ahli KWSP agar tidak membuat pelaburan yang salah dan mendatangkan risiko setelah menerima kemudahan pembayaran i-Sinar.
Dalam ucap tama Forum Etika dan Profesional 2020 - Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC), beliau memberitahu, sejak akhir-akhir ini pihaknya melihat terlalu banyak maklumat tidak tepat berlegar-legar di media sosial yang disebarkan individu yang mengiktiraf diri mereka sebagai 'pakar kewangan'.
Baca: BNM bimbang pengeluaran KWSP disalah guna
Jelasnya, individu tersebut tanpa rasa bertanggungjawab menasihati peminjam yang tiada masalah kewangan untuk mengambil moratorium atau menyalurkan lebihan penjimatan bayaran pinjaman yang telah ditambahbaik itu untuk membuat pelaburan berisiko tinggi semata-mata untuk mendapatkan keuntungan lebih dengan cepat.
"Dengan pengumuman pakej i-Sinar baru-baru ini, kami berpendapat, tindakan tidak beretika ini akan berulang lagi dan mendorong pencarum mengeluarkan Akaun 1 untuk membuat pelaburan semula yang lebih berisiko," jelasnya.
Bagi mereka yang masih belum membuat permohonan, anda boleh mengikuti langkah untuk membuat permohonan mengikut kategori dan kelayakan.
Baca: Permohonan i-Sinar dibuka, ini cara memohonnya
Permohonan i-Sinar bagi Kategori 2 pula boleh dibuat bermula 11 Januari 2021 secara dalam talian melalui pautan https://isinar.kwsp.gov.my/. - DagangNews.com