Skip to main content

Gencatan politik amat diperlukan - NUBE

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Kesatuan Pekerja Bank Kebangsaan (NUBE) menegaskan kestabilan politik dan kerajaan amat diperlukan untuk menangani masalah pengangguran yang masih meruncing. 

 

Menurut Setiausaha Agungnya, J.Solomon, keadaan itu semakin diburukkan lagi dengan tindakan majikan beralih kepada automasi dan pendigitalan dalam semua sektor ekonomi tanpa mengambil kira kepentingan pekerja.  

 

Katanya, antara yang paling terjejas adalah pekerja bank di mana pihak pengurusan ghairah melaksanakan tindakan-tindakan anti kesatuan yang mengakibatkan lebih ramai pekerja bank kehilangan pekerjaan. 

 

"Untuk memastikan fokus kerajaan tidak tersasar dalam membela rakyat dan pekerja dalam mengharungi pandemik COVID-19,  NUBE mendesak semua pihak melakukan gencatan politik tidak kira parti kerajaan mahupun pembangkang. 

 

"Kami amat berharap ahli politik akan memberi ruang dan masa kepada Tan Sri Muhyiddin meneruskan tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri sehingga pilihan raya umum (PRU) diadakan iaitu setelah pandemik ini berakhir," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Semalam, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed mengadakan sidang akhbar bersama Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah. 

 

Tun M yang juga Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, jika Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (RUU) bacaan kali ketiga itu gagal diluluskan Dewan Rakyat, maka kemungkinan untuk kerajaan sedia ada hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen adalah tinggi. 

 

Bagaimanapun, Solomon berkata, NUBE akur hanya PRU mampu menyelesaikan masalah semasa majoriti tipis yang dimiliki kerajaan. 

 

"Sehingga tempoh itu, marilah kita menguatkan tekad sebagai rakyat Malaysia, untuk bekerjasama dan mengatasi krisis COVID-19 ini," katanya. 

 

Menurutnya, dalam sektor perbankan ketika ini, ramai pekerja kini berisiko kehilangan pekerja jika majikan terus dan sewenang-wenangnya dibenarkan melaksanakan penyumberluaran bagi kerja-kerja yang dijalankan mereka selama ini.

 

Katanya, penyumberluaran ini sedang dijalankan walaupun negara masih dicengkam dengan COVID-19 dan pekerja memerlukan mata pencarian. 

 

"Dalam hal ini, kami merayu kepada Perdana Menteri untuk mengambil tindakan sepatutnya terhadap pengurusan bank yang melaksanakan penyumberluaran tetapi mengabaikan kebajikan pekerja malah menyisihkan dan seterusnya memberhentikan mereka ketika pandemik masih menular," katanya. 

 

Beliau berkata, sebahagian besar pekerja ini adalah dari B40 dan M40 dengan sebilangan keluarga yang terkesan ini  bergantung secara harian kepada bantuan kerajaan dan belas ehsan badan bukan kerajaan (NGO). - DagangNews.