Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Volatiliti - 2 February 2022

Genting Hong Kong: Implikasi kepada ekonomi Malaysia

 

 

 

Negara terus dilanda kontroversi melalui kisah Genting Hong Kong dalam isu pinjaman tanpa cagaran. 

 

Rata-rata penganalisis ekonomi dan kewangan telah menyatakan pendapat masing-masing berkaitan isu ini.

 

Netizen Malaysia juga tidak kurang hebatnya dalam membuat analisis mereka sendiri.

 

Genting Hong Kong di ambang kebankrapan

Pada Januari 2022 yang lalu,  Genting Hong Kong telah memfailkan kebankrapannya. Maybank, CIMB dan RHB Bank  antara 3 bank Malaysia dinamakan sebagai antara ketua pemiutang tidak bercagar Genting Hong Kong, dengan gabungan pendedahan sebanyak AS$600 juta (RM2.5 bilion).

 

Apa itu pinjaman tanpa cagaran?

Secara ringkas, pinjaman tanpa cagaran ialah:

  • Aset tidak melindungi jumlah pinjaman.
  • Tidak ada kewajipan peminjam untuk menjamin aset sebagai jaminan.
  • Tidak ada jaminan mengenai pembayaran dan jika peminjam ingkar pembayaran institusi kewangan hanya boleh menuntutnya untuk wang itu tetapi tidak dapat memulihkan jumlahnya secara paksa atau dengan menjual hartanya.
  • Risiko sangat tinggi kerana harta tidak menyokong jumlah tersebut.
  • Jumlah pinjaman akan diluluskan berdasarkan kepercayaan kredit, status kewangan, karakter dan kemampuan membayar, peminjam.
  • Peminjam mesti mempunyai penarafan kredit yang tinggi.
  •  

 

volatiliti

 

 

Kenapa Kerajaan “Izinkan” beri pinjaman kepada syarikat muflis?

Ini perkara yang kita perlu faham, yang mana keputusan beri atau tidak pinjaman ini bukan ditentukan oleh Kementerian Kewangan/ kerajaan atau pemegang saham.

 

Dalam menentukan keputusan syarikat dalam isu ini, keputusan ini dicapai melalui pengurusan bank berkenaan itu sendiri.

 

Keputusan melalui Jawatankuasa Kredit Bank

Setiap bank atau institusi kewangan mempunyai proses usaha wajar (due diligence) dan penilaian kredit oleh Jawatankuasa Kredit masing-masing bagi menilai keupayaan bakal peminjam untuk membayar balik pinjaman mereka. 

 

Jawatankuasa ini berfungsi untuk menjalankan analisis dan penilaian kredit bagi menilai keupayaan bakal peminjam untuk membayar balik pinjaman semula.

 

Jika Jawatankuasa Kredit Bank telah membuat analisis dan penilaian terhadap peminjam, maka keputusan ini bukannya keputusan yang dipengaruhi oleh mana-mana pihak atau campur tangan kementerian dan kerajaan tetapi ia adalah keputusan bank itu sendiri.

 

Perkara ini sebenarnya termaktub dalam garis panduan Bank Negara Malaysia (BNM) yang mana BNM sudah menetapkan garis panduan yang perlu dipatuhi dan selagi bank ini mematuhi garis panduan yang ditetapkan maka bank  bebas untuk memberi pinjaman mengikut budi bicara bank sendiri.

 

genting

 

Pengurusan Risiko Penilaian Kredit

Pastinya Maybank, CIMB dan RHB meluluskan pinjaman tanpa cagaran ini kepada Genting Hong Kong berdasarkan kesanggupan bank tersebut mengambil risiko pada peringkat dalaman (risk appetite), penilaian kredit yang memenuhi kriteria dan kelulusan berdasarkan proses tadbir urus dalaman. 

 

Selain itu, apa yang kita perlu tahu, pinjaman ini telah diluluskan sebelum pandemik COVID-19 melanda. Pastinya Maybank, CIMB mahupun RHB tidak dapat menjangka semasa pinjaman diluluskan pada ketika itu.

 

Ia bukan pinjaman semasa yang baharu diluluskan. Inilah salah faham sebenarnya.

 

Genting Hong Kong pasti menerima kesan yang buruk dan negatif yang membawa syarikat ini ke ambang muflis kerana syarikat ini mempunyai operasi perniagaan yang utama dalam sektor pelancongan.

 

COVID-19 yang berlaku telah mengakibatkan banyak syarikat yang bergantung kepada pelancongan pasti akan terjejas teruk.

 

 

genting
Tan Sri Lim Kok Thay meletakkan jawatan sebagai Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Genting Hong Kong Ltd pada 21 Januari 2022, hanya beberapa hari selepas syarikat itu memfailkan penggulungan perniagaannya yang menjadi keruntuhan terbesar sebuah syarikat pengendali kapal persiaran sejak pandemik bermula.

 

 

Bersetujukah KWSP, PNB dan Khazanah?

Walaupun Jawatankuasa Kredit Maybank, CIMB dan RHB bersetuju dengan keputusan pinjaman ini, apakah peranan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan  Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) sebagai antara pemegang saham terbesar dalam Maybank, CIMB dan RHB?

 

Secara tadbir urus, pemegang saham tidak terlibat dalam operasi harian sesuatu syarikat dan ia diserahkan kepada pengurusan bank itu sendiri.

 

Peranan KWSP, PNB dan Khazanah perlu dibezakan antara ahli lembaga pengarah dengan pengurusan syarikat.

 

Sejarah nisbah Pinjaman Tidak Berbayar (NPL)

Mungkin kita risau akan pinjaman tanpa cagaran ini yang akan membawa kepada pinjaman tidak berbayar (NPL), namun sejarah sektor perbankan Malaysia sudah mengalami banyak penambahbaikan berbanding 1998 iaitu ketika Krisis Kewangan Asia.

 

Nisbah pinjaman NPL pada Disember 1998 melonjak ke 18.6 peratus. Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (LLC) hanya di tahap 55.9% iaitu untuk setiap RM1 yang dipinjamkan, hanya hampir 60 sen diperuntukkan bagi menangani kemungkinan pinjaman tidak dibayar. ⠀

 

Kini, nisbah pinjaman tidak berbayar hanya 1.4%, termasuk peruntukan NPL separa bagi pinjaman oleh Genting Hong Kong.

 

maybank

 

Pinjaman tidak jejaskan kekuatan kewangan Maybank

Bagi Maybank pinjaman tanpa cagaran yang diberikan kepada Genting Hong Kong ini, tidak menjejaskan kekuatan kewangan Maybank.

 

Walaupun Genting Hong Kong diisytiharkan muflis, Maybank dan bank lain yang terbabit yakin yang sektor perbankan di Malaysia secara amnya amat berdaya tahan dalam mengharungi pelbagai cabaran operasi perniagaan semasa.

 

Selain itu, pinjaman ini bukan hanya melibatkan 3 bank ini sahaja, dan ada banyak lagi bank lain dari negara luar negara. Semua bank- bank dari luar negara ini juga tidak bertindak sembrono dalam memberikan pinjaman kepada Genting Hong Kong.

 

Jadikan Skandal BMF sebagai pedoman

Kerajaan perlu pastikan apa yang berlaku pada tahun 1983 berkenaan skandal Bumiputera Malaysia Finance (BMF) tidak akan berulang lagi.

 

Skandal MBF berlaku juga melibatkan pinjaman besar dari Bank Bumiputra Malaysia Bhd (BBMB) kepada syarikat yang berpangkalan di Hong Kong.

 

Kerajaan akhirnya terpaksa “menyelamatkan” BBMB dengan berbilion ringgit menerusi Petronas.

 

volatiliti

 

Impak kepada kecairan dan pertumbuhan ekonomi Malaysia

Secara tuntasnya, isu pinjaman tanpa cagaran kepada Genting Hong Kong tidak memberi impak kepada kecairan dan pertumbuhan ekonomi negara.

 

Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (LLC) kekal kuat pada tahap 131.5% berbanding 55.9% pada 1998.  Ini menunjukkan signal yang sistem kewangan Malaysia kekal kukuh dan tidak timbul sebarang masalah kecairan di pasaran.

 

Terbaru, Bank Dunia telah menyemak semula prestasi pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun ini yang berada pada landasan yang tepat dan baik.

 

Malaysia yang mengunjurkan pertumbuhan antara 5.5% dan 6.5 % pada 2022 berbanding 2021 sebanyak 3.3%. Dengan pertumbuhan ekonomi semasa, data terkini yang dikeluarkan oleh Bank Dunia ini menjangkakan pertumbuhan Malaysia sebanyak 5.8% selari dengan unjuran Kementerian Kewangan dan BNM.  - DagangNews.com

 

 
SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

Portfolio Tags