Genting suntik RM625 juta, Empire Resorts dijangka kekal rugi  | DagangNews Skip to main content

Genting suntik RM625 juta, Empire Resorts dijangka kekal rugi 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Empire Resorts Inc. dijangka terus berdepan kerugian dalam tempoh 5 tahun akan datang, di sebalik langkah Genting Malaysia Bhd. memberi suntikan tambahan sebanyak AS$150 (RM625 juta). 

 

Sehubungan itu, CGS-CIMB negatif terhadap perkembangan tersebut sekalipun ia dibuat sebahagiannya bagi membantu melunaskan hutang jangka pendek unitnya yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) ini sebanyak AS$365 juta.

 

"Walaupun, penjimatan kos faedah akan menyebabkan kerugian Empire Resorts semakin berkurangan, tetapi pendapatan sesaham (EPS) Genting Malaysia bagi tahun kewangan 2022 hingga 2023 akan mengalami impak minimum. 

 

"Ini memandangkan ia akan diimbangi sebahagian besarnya daripada kerugian Empire Resorts yang lebih tinggi, meningkat kepada 66% berbanding 58% sebelum ini dan kos faedah untuk bon AS$1 bilion yang dimiliki Genting Malaysia," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia semalam, Genting Malaysia berkata, unit tidak langsung milik penuhnya, Genting ER II LLC pada Isnin memeterai perjanjian untuk melanggan sehingga AS$150 juta tambahan Series L Preferred Stock of Empire.

 

Cadangan suntikan ekuiti tambahan ini juga membolehkan Genting Malaysia memperkukuhkan semula kedudukan dan berkembang dalam pasaran New York dengan memanfaatkan sinergi antara Resorts World New York City (RWNYC) dan Resorts World Catskills (RWC) untuk mencapai penjimatan kos dan mengembangkan hasil serta memanfaatkan prospek pertumbuhan Empire Resorts.

 

Dengan suntikan tambahan itu, ia menjadikan keseluruhan pelaburan dalam Empire Resorts berjumlah AS$524 juta setakat ini. Ia akan dibiayai menerusi terbitan bon Genting Malaysia sebanyak AS$1 bilion pada pertengahan April lalu. 

 

Setelah mengambil kira banyak faktor berikutan langkah tersebut, CGS-CIMB menyemak turun harga sasaran Genting Malaysia kepada RM3.40 berbanding RM3.45 sebelum ini.

 

Firma itu bagaimanapun mengekalkan saranan 'tambah' ke atas sahamnya memandangkan ia masih menyaksikan pulangan hasil lebih 10% (termasuk hasil sebanyak 4.6% bagi bagi tahun kewangan 2022).

 

"Walaupun, kami negatif dengan langkah Genting Malaysia memberi suntikan tambahan ini, tetapi sebahagiannya diimbangi dengan impak positif dengan pembukaan semula Resorts World Genting lebih awal pada 30 September lalu dan juga kebenaran rentas negeri mulai 11 Oktober," katanya.

 

Ini membolehkan ia mengurangkan unjuran kerugian bersih teras Genting Malaysia sebanyak 9.4% kepada RM1.15 bilion manakala EPS bagi tahun kewangan 2022-2023 juga kekal tidak berubah. - DagangNews.com