Geran RM250,000 diraih kumpulan MYHackathon P.Pinang | DagangNews Skip to main content

Geran RM250,000 diraih kumpulan MYHackathon P.Pinang

MYHackathon 2020 bagi pusingan Pulau Pinang

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 11 Dis. - Pencarian penyelesaian digital MYHackathon 2020 bagi pusingan Pulau Pinang berakhir dengan pemilihan enam penyelesaian yang mampu memacu perkhidmatan awam.

 

Penyelesaian berkenaan juga berpotensi untuk mempromosikan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) kepada orang ramai dan merancakkan arena syarikat pemula (start-ups).

 

Pemenang di bawah kategori MARATHON masing-masing akan menerima geran bersyarat sebanyak RM250,000 untuk menjalankan projek penyelesaian rintis untuk 12 bulan akan datang dengan kerjasama kementerian dan agensi berkaitan.

 

Bagi kategori SPRINT pula, pemenang pertama, kedua dan ketiga masing-masing akan menerima hadiah wang tunai RM10,000, RM7,500 dan RM5,000 serta hadiah menarik lain.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Rafiza Ghazali yang mengumumkan keputusan pemenang berkenaan berkata, terdapat keperluan segera untuk kemajuan STI dengan adanya COVID-19 dan MYHackathon 2020 Pusingan Pulau Pinang mencari penyelesaian yang dapat mencapai segmen masyarakat yang berlainan untuk menyampaikan mesej ini.

 

“Pandemik COVID-19 telah mempercepatkan keperluan STI di setiap industri dan peringkat masyarakat dalam pemulihan sosioekonomi. Ia sangat kritikal bagi memastikan semua lapisan masyarakat mendapat bantuan tepat pada masanya. 

 

"Untuk pusingan Pulau Pinang, kami mencari penyelesaian dan platform digital untuk menggabungkan, mengaktifkan dan
mempromosikan Sains, Teknologi dan Inovasi di peringkat nasional - bermula dari pelajar, syarikat pemula, komuniti saintifik, pembuat dasar, sehingga ke masyarakat umum,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Di bawah tema Inovasi Asas Pembangunan, pemenang yang dipilih telah meneliti dan mengemukakan idea penyelesaian bagi beberapa pernyataan masalah termasuk pusat atau platform sehenti untuk syarikat permulaan mendapatkan khidmat nasihat, pemantauan permulaan, penjejakan perkembangan dan laporan; penyelesaian digital untuk perhubungan dengan orang ramai bagi memupuk atau mempromosikan STI (Sains, Teknologi dan Inovasi) menggunakan pembelajaran interaktif; dan platform interaktif dan gamifikasi untuk meningkatkan kesedaran dan minat pelajar terhadap sains dan aeroangkasa.

 

Peringkat Akhir Pembentangan dan Pengumuman Pemenang tersebut dijalankan secara dalam talian di laman Facebook Cradle.

 

Para pemenang kategori SPRINT adalah Chong Zhi Pin dengan StartupBuddy, Beh Soo Yuan dengan MyStartup, dan Yeow Kai Shern dengan AERONAUT.

 

Dalam kategori MARATHON pula, pemenang adalah Rizal Alwani Mohamed Nordin dengan ARMS: Sistem Pengurusan Realiti Imbuhan, Lee Jung Ren dengan Boss Boleh Platform Awan Setiausaha Syarikat, dan Mohammad Khairul Shaleh Md Asari dengan Mat Metro (Mekanik dan Elektronik). - DagangNews.com