GHL Systems dijangka catat prestasi lebih baik pada suku kedua, RHB Research naikkan penarafan kepada 'beli' | DagangNews Skip to main content

GHL Systems dijangka catat prestasi lebih baik pada suku kedua, RHB Research naikkan penarafan kepada 'beli'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 9 Ogos - RHB Research menjangkakan GHL Systems Bhd. akan merekodkan hasil yang lebih kukuh pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 terutamanya menerusi segmen transaksi pemerolehan bayaran (TPA).

 

Ini disokong dengan perbelanjaan domestik yang lebih baik, berikutan pelbagai langkah bantuan tunai seperti skim pengeluaran tunai khas RM10,000 bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

 

"Kami percaya pembukaan semula ekonomi dan sempadan akan membantu meningkatkan keseluruhan perniagaan TPA di Malaysia dan Thailand. 

 

"Walaupun tekanan inflasi global mungkin mengehadkan pertumbuhan dalam perbelanjaan, kami percaya penggunaan domestik masih berada di landasan yang betul untuk meningkat, memandangkan kesan asas yang rendah pada 2021, dan apabila tekanan diimbangi oleh pelbagai subsidi," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada suku pertama, pendapatan GHL Systems meningkat 6.8% tahun ke tahun kepada RM92.6 juta, tetapi keuntungan teras susut 8.8% tahun ke tahun kepada RM5.3 juta. 

 

Pendapatan lebih tinggi pada suku berkenaan dipacu segmen TPA daripada semua operasi, memandangkan sekatan pergerakan berkurangan sejajar dengan peningkatan kadar vaksinasi.

 

Bagaimanapun, keuntungan teras menguncup disebabkan oleh GPM yang lebih rendah untuk perniagaan pemerolehan, dalam kedua-dua TPA dan e-bayaran, hasil daripada perubahan dalam campuran pedagang dan campuran produk di tengah-tengah sekatan pergerakan yang dilonggarkan.

 

Nilai jumlah proses (TPV) pada suku pertama adalah mendatar pada RM6.2 bilion, dengan pertumbuhan dalam unit e-bayaran mengimbangi kelemahan dalam segmen TPA, apabila jangkitan Omicron memuncak pada tempoh berkenaan.

 

Secara keseluruhan, RHB Research menaikkan penarafan GHL Systems kepada 'beli' daripada 'neutral' dengan harga sasaran pada RM1.54 sesaham.

 

"Kelemahan harga sahamnya baru-baru ini memberikan peluang yang baik untuk mengumpul saham, yang mempunyai trend pertumbuhan sekular dalam pendigitalan, dan merupakan penyedia perkhidmatan pembayaran tanpa tunai di ASEAN, di bawah penilaian purata.

 

"Di samping itu, kami menjangkakan angka suku kedua yang lebih kukuh disokong perbelanjaan dometik dan transaksi tanpa tunai yang semakin berkembang," katanya.

 

Setakat 10.26 pagi ini, harga sahamnya kekal tidak berubah pada RM1.16 sesaham. - DagangNews.com