GIC melengkapi pertumbuhan Sunway Healthcare - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

GIC melengkapi pertumbuhan Sunway Healthcare - Penganalisis

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Jun - Penyertaan dana pelaburan Singapura, GIC Pte Ltd. sebagai pelabur dalam Sunway Healthcare Holdings Sdn. Bhd. menjadi pemangkin kepada segmen penjagaan kesihatan bukan sahaja bagi Sunway Berhad tetapi juga di negara ini.

 

Semalam, Sunway Healthcare yang merupakan sayap penjagaan kesihatan Sunway mengumumkan pelaburan GIC menerusi pengambilalihan 16 peratus kepentingan bernilai RM750 juta.

 

Penganalisis MIDF Research, Jessica Low Jze Tieng berkata, urus niaga itu yang menilai Sunway Healthcare pada RM4.69 bilion, merangkumi sebahagian besar 53 peratus daripada pasaran modal Sunway.

 

"Pelaburan ini juga akan mempercepatkan pelan pengembangan Sunway Healthcare memandangkan ia akan digunakan sebagai perbelanjaan modal (capex) untuk menaiktaraf hospital sedia ada dan membina enam lagi hospital beberapa tahun akan datang.

 

"Sunway juga menyasarkan untuk memanfaatkan pengalaman GIC di peringkat global untuk memperkukuhkan kedudukannya dalam segmen penjagaan kesihatan di Malaysia," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Firma itu mengekalkan pandangan 'neutral' ke atas Sunway dengan harga sasaran disemak lebih tinggi kepada RM1.72 sesaham berbanding RM1.55 sebelum itu. 

 

Bagaimanapun, katanya, pelupusan 16 peratus pegangan itu dijangka mengurangkan sumbangan pendapatan daripada segmen penjagaan kesihatan kepada Sunway. 

 

"Dengan itu, kami menyemak semula unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2021 dan 2022 masing-masing kepada -0.8 dan -2.2 peratus," tambahnya. 

 

MIDF Research berpendapat, penyenaraian segmen penjagaan kesihatan menjelang 2028 kekal menjadi pemangkin jangka panjang kepada Sunway.

 

Baca :  Dana pelaburan Singapura labur RM750 juta dalam Sunway Healthcare

 

Baca : Pelaburan GIC bukti keyakinan terhadap ekonomi negara dan Sunway - PM

 

 

Menerusi suntikan pelaburan itu, GIC akan memperoleh 12.5% kadar pulangan dalaman (IRR) setahun, yang membolehkan penyenaraian Sunway Healthcare dalam tempoh lapan tahun lagi. 

 

Sementara itu, Kenanga Research yakin Sunway Healthcare mampu memenuhi had minimum pasaran yang diperlukan untuk keperluan IRR 12.5%.

 

"Malah, dengan urus niaga ini juga secara tidak langsung meletakkan tempoh masa yang jelas bagi langkah penyenaraian itu dalam usaha menjana kewangan ke atas aset," katanya.

 

Firma itu mengekalkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2021 dan 2022 tidak berubah memandangkan pengurangan pendapatan daripada penjualan kepentingan ini hanya sedikit.

 

Ia juga mengekalkan saranan 'market perform' bagi Sunway dengan harga sasaran pada RM1.95 berbanding RM1.77 sebelum itu.

 

 

Sunway Medical Velocity Centre

 

 

Penganalisis CGS-CIMB, Sharizan Rosely berkata, pelaburan GIC adalah bertepatan dengan langkah pengembangan Sunway Healthcare yang merancang untuk menubuhkan enam lagi hospital.

 

"Ini akan menambah lagi senarai hospital yang dikendalikannya ketika ini iaitu Sunway Medical Centre di Bandar Sunway yang dibuka sejak 1999 dan Sunway Medical Centre Velocity (SMCV), Cheras yang mula beroperasi pada suku keempat 2019," katanya.

 

Setakat akhir 2020, segmen penjagaan kesihatan merangkumi tiga peratus keuntungan sebelum cukai, susut tujuh peratus berbanding tahun kewangan 2019 disebabkan pandemik COVID-19 dan kerugian operasi SMCV, yang sepatutnya kembali untung akhir tahun ini. 

 

Firma itu bagaimanapun menyemak naik harga sasaran kepada RM1.91 dan mengekalkan saranan 'pegang' bagi saham Sunway.

 

"Kami menjangkakan untung bersih segmen penjagaan kesihatan akan merosot antara lima hingga 11 peratus bagi tahun kewangan 2021 hingga 2023, dengan mengambil kira tempoh matang dua tahun sebelum mendapat pulangan modal," jelasnya. 

 

Setakat 10.41 pagi ini, saham Sunway susut 3.37 peratus kepada RM1.72 sesaham selepas dibuka tinggi pada RM1.81. - DagangNews.com