GLC bakal jadi pemegang saham utama SMTrack? | DagangNews Skip to main content

GLC bakal jadi pemegang saham utama SMTrack?

 

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

 

 

KUALA LUMPUR 5 Jan – Susulan pemilikan lebih daripada 5% saham oleh taikun Tan Sri Lee Kim Yew minggu lepas, SMTrack Berhad kini `dipinang’ oleh sebuah syarikat milik kerajaan (GLC).

 

SMTrack adalah syarikat penyedia rumusan teknologi pengenalan berfrekuensi radio (RFID) untuk pelbagai kegunaan dan tersenarai di Pasaran ACE.

 

Menurut sumber, GLC telah menyatakan secara rasmi hasrat untuk memiliki sekurang-kurangnya 10% kepentingan di dalam SMTrack, di dalam pertemuan dan secara bersurat.

 

Difahamkan, cadangan pelaburan tersebut kini sedang dinilai mengikut dasar dan garis panduan pelaburan GLC.

 

Perkembangan positif ini menyusuli pelaburan Tan Sri Kim Yew yang muncul sebagai pemegang saham terbesar setelah memperoleh 28.5 juta saham, bersamaan dengan 5.051% kepentingan di dalam SMTrack.


 

Tan Sri Lee Kim Yew
                             Tan Sri Lee Kim Yew

 


Pengerusi Eksekutif Country Heights Holdings itu memperoleh saham-saham berkenaan pada 29 Disember lalu menerusi pasaran terbuka.

 

Menurut satu laporan, sebelum kemunculan Tan Sri Kim Yew, pemegang saham utama SMTrack adalah Datuk Seri Tan Choon Hwa dengan 3.16%, diikuti Jacqueline Lee Fei Fei (2.13%) dan Lim Shiou Ghay (1.94%).

 

Datuk Seri Tan Choon Hwa
                           Datuk Seri Tan Choon Hwa

 


Dan sekiranya cadangan pelaburan GLC ini diluluskan, ia sekali gus menjadi pemegang saham majoriti di dalam SMTrack.

 

Pasaran juga mendengar desas-desus mengaitkan seorang lagi jutawan bakal menjadi pemegang saham utama syarikat ini dalam masa terdekat.

 

SMTrack Berhad terlibat di dalam pengedaran, penyelidikan, reka bentuk dan penggunaan tag pengenalan berfrekuensi radio. Ia menyediakan rumusan penjejakan dan pengesanan secara dalam talian menggunakan teknologi RFID dan menggunakan enjin penjejak dinamakan SMTrack.

 

Perkhidmatan dan rumusan yang ditawarkannya merangkumi Penjejakan Perdagangan, Makanan dan Pengesanan Terjamin, Komunikasi Padang Berdekatan (NFC), Pengurusan Fleet Sistem Kedudukan Global (GPS) dan Rumusan Anti-Pemalsuan RFID. – DagangNews.com