Global Systémes Asia ambil alih operasi MRO RUAG International di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Global Systémes Asia ambil alih operasi MRO RUAG International di Malaysia

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Jun - Global Systémes Asia Sdn. Bhd. (GSA) telah mengambil alih operasi gergasi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) milik syarikat Switzerland, RUAG International.

 

Ini susulan strategi penyusunan semula global RUAG, sekali gus meletakkan GSA sebagai syarikat sektor MRO pertama di Malaysia yang melaksanakan langkah berkenaan. 

 

Pengerusi GSA, Datuk Nonee Ashirin Mohd Radzi berkata, penubuhan perniagaan kolektif antara sebuah lagi syarikat yang dipengerusikan beliau iaitu Global Turbines Asia Sdn Bhd. (GTA) dan GSA juga akan mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi untuk orang ramai, memberi manfaat yang besar kepada kumpulan syarikat, pelanggan, pemegang saham dan pihak berkepentingan. 

 

Nonee Ashirin Mohd Radzi
Nonee Ashirin Mohd Radzi

 

“Pendekatan ini akan menghasilkan peluang kerjaya baharu berikutan usaha transformasi industri aeroangkasa negara. Kita perlu menjalin lebih banyak kolaborasi seperti ini yang akan memberi manfaat kepada rakan strategik dan juga komuniti industri, di mana mereka dapat belajar dan memperbaiki kemahiran mereka dalam jangka masa panjang,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Pengambilalihan berkenaan dilihat akan meningkatkan lagi keupayaan helikopter dan pesawat MRO GSA dengan ketara dan juga menyokong GTA. 

 

Sinergi yang utuh di antara GSA-GTA dan RUAG kini menawarkan portfolio perkhidmatan yang dipertingkatkan dari segi penambahan komponen pesawat, pemula generator dan sistem elektrik dalam penawaran servis MRO GTA, jelas kenyataan itu lagi. 

 

Ini menjadikan GSA syarikat Malaysia pertama yang mempunyai portfolio ekosistem MRO yang lengkap merangkumi tentera (GTA) dan sivil (RUAG).

 

Mengulas mengenai Subang sebagai hab MRO di Asia Pasifik, Nonee Ashirin percaya kawasan itu memiliki banyak potensi pertumbuhan dan menerusi sokongan Kerajaan Persekutuan serta Selangor, ini akan membawa lebih banyak peluang.

 

Beliau mewakili syarikat-syarikat yang dipimpinnya berhasrat untuk mengembangkan pelan tindakan dan mewujudkan gugusan AeroAngkasa dan AeroTech sejajar dengan Pelan Pembangunan AeroAngkasa Malaysia 2030.

 

Dalam senario global hari ini, Malaysia akan dapat meningkatkan kedudukannya untuk menjadi hab MRO yang lengkap di Asia, menyumbang kepada lebih daripada 15% pengeluaran global dalam perancangan perjalanan lima tahun pertama akan datang, katanya lagi. 

 

Sementara itu, Ketua Unit Perniagaan Antarabangsa RUAG International, Felix Ammann menzahirkan kegembiraan atas langkah pengambilalihan tersebut. 

 

"Pemindahan perniagaan ke syarikat berpangkalan tempatan GSA, adalah penyelesaian yang terbaik untuk meneruskan aktiviti perniagaan semasa dan memastikan peluang pekerjaan demi masa depan,” kata beliau.

 

Sementara Ketua Penyelaras Kebangsaan Industri Aeroangkasa  (NAICO), Prof. Ts. Shamsul Kamar pula percaya pengambilalihan dari GSA akan mempertingkatkan dan menentukan hala tuju jejak global serta rantau Malaysia untuk komponen segmen MRO. 

 

Selain dapat mengembangkan lagi portfolio aeroangkasa semasa, GSA akan menjadi salah satu pemangkin utama dalam menarik rakan niaga berkualiti untuk mempertimbangkan Subang sebagai lokasi pilihan mereka di Asia Tenggara, dan sekali gus memperkuatkan lagi ekosistem MRO di Malaysia, ujar beliau. - DagangNews.com