Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]
KUALA LUMPUR 6 Jan - Syarikat pengeluar bas terkemuka Asia, Gemilang International Limited (GML) dijangka menghantar 140 unit bas sekolah elektrik sepenuhnya ke California, Amerika Syarikat (AS) pada tahun ini selaras dengan usahanya untuk mempromosikan penyelesaian mesra alam untuk bas.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif GML, Pang Chong Yong berkata, tempahan 120 bas sekolah dengan panjang 12 meter dan 20 bas sekolah dengan panjang 7.5m adalah sesuatu yang sangat luar biasa kerana ia dislihat sebagai peluang terbaik untuk memasuki pasaran AS.
Katanya, tempahan itu merupakan jumlah yang terbesar yang pernah diterima syarikat itu untuk kenderaan elektrik (EV).
"Pasaran bas sekolah EV di AS sangat besar dengan aspek pertumbuhan ekonomi yang sangat baik.
"Ia adalah hasil daripada Perjanjian Infrastruktur Bipartisan (Akta Pelaburan Infrastruktur dan Pekerjaan) yang diluluskan oleh Presiden AS Joe Biden, dengan komitmen AS$2.5 bilion (RM10.5 bilion) untuk membeli bas sekolah elektrik bagi daerah sekitar AS.
“Menerusi perancangan baharu untuk menggantikan kesemua 500,000 bas sekolah di AS kepada kenderaan EV, kami percaya syarikat ini akan menguasai lebih banyak pasaran berdasarkan kepada pengalaman selama tiga dekad dalam industri ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Chong Yong berkata, GML memberi tumpuan kepada membina badan bas dan bas yang mesra alam, dan telah menggunakan penyelesaian badan aluminium sejak lebih daripada 20 tahun.
“Teknologi ringan, bebas kakisan berasal dari Switzerland dan telah dibuktikan oleh pelanggan kami dari lebih 15 pasaran di seluruh dunia.
"Biasanya, bas kami bertahan lebih lama dan dianggap lebih selamat daripada bas berbadan keluli, dan saya gembira kerana ini telah membantu kami mengembangkan jejak kami di pasaran AS,” katanya.
Syarikat yang berpangkalan di Johor itu berpengalaman dengan perniagaan mereka bentuk, memasang dan mengeluarkan bas sejak lebih 30 tahun selain terlibat dengan projek Transit Aliran Bas Iskandar Malaysia (IMBRT), bas bandar elektrik pertama Sarawak untuk Kuching Metro, dan projek perintis bas elektrik oleh Kerajaan Sabah.
GML juga telah membekalkan bas aluminium untuk Go KL, Rapid KL, Rapid Penang dan bas pengantara MRT sejak 13 tahun lalu.
Syarikat yang tersenarai di Bursa Hong Kong itu juga telah membekalkan bas elektrik ke AS sejak 2016, ketika pasaran masih menggunakan kenderaan berkuasa bahan api konvensional.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif GML, Pang Chong Yong berkata, syarikatnya sudah membekalkan badan bas kepada pelbagai pembuat EV seperti BYD dan CRRC ke beberapa pasaran termasuk Malaysia, Singapura dan Australia sejak 2015.
"Kami menjangkakan lebih banyak negara akan mengikuti peralihan kepada EV sebagai peningkatan komitmen perubahan iklim yang telah diumumkan oleh kerajaan di seluruh dunia,” katanya. - DagangNews.com