GMP buka 3 ‘pintu’ pasaran antarabangsa buat syarikat permulaan – MaGIC | DagangNews Skip to main content

GMP buka 3 ‘pintu’ pasaran antarabangsa buat syarikat permulaan – MaGIC

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 April - Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) menyeru syarikat permulaan di negara ini untuk memohon penyertaan dalam Global Market-Fit Programme (GMP) 2021 yang merupakan ‘laluan’ mereka untuk menembusi pasaran di tiga buah negara.

 

Menurut MaGIC, GMP membantu syarikat permulaan Malaysia yang berhasrat untuk meningkatkan skala perniagaan mereka ke peringkat antarabangsa, antaranya peluang bekerjasama dengan rakan kongsi di destinasi yang disasarkan.

 

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Amiruddin Abdul Shukor berkata, pihaknya sentiasa menyokong syarikat permulaan untuk menembusi pasaran global.

 

Amiruddin Abdul Shukor
Amiruddin Abdul Shukor

 

“Program ini bakal menumpukan kepada syarikat permulaan yang memenuhi syarat khusus - di luar TRL 6 atau Siri A ke atas - untuk menembusi pasaran luar negara.

 

“Pandemik COVID-19 telah menjejaskan perancangan awal sedia ada oleh kebanyakan syarikat permulaan yang mahu berkembang dan meningkatkan skala mereka.

 

“Memandangkan mereka ke arah pemulihan, GMP menyediakan platform unik ini untuk mereka terus maju,” katanya dalam sebuah kenyataan.

 

Program tersebut menyediakan sebuah platform bagi syarikat permulaan yang inovatif dengan pertumbuhan tinggi untuk meneroka budaya, memahami cara perniagaan dan mendapatkan akses pasaran antarabangsa.

 

Dalam pada itu, syarikat permulaan juga boleh merebut peluang untuk akses awal bagi mempersiapkan pelancaran mereka ke pasaran baharu dan peluang di dalamnya.

 

Pada tahun ini, MaGIC akan meneroka Indonesia pada April, seterusnya kemungkinan menembusi negara-negara lain seperti China dan Amerika Syarikat (AS) serta rantau Eropah.

 

Matlamat MaGIC adalah untuk membantu sekurang-kurangnya 30 syarikat memulakan perjalanan pengembangan antarabangsa mereka pada tahun 2021, menggandakan sasarannya daripada tahun lalu ketika sempadan antarabangsa terbuka dan pasaran menuju ke arah pemulihan.

 

GMP 2021 akan menampilkan tiga pengambilan pada bulan April, Jun dan Julai di mana setiap daripadanya akan terdedah kepada pasaran berbeza. – DagangNews.com