Go Digital ASEAN sasar latih 15,000 belia, PKS | DagangNews Skip to main content

Go Digital ASEAN sasar latih 15,000 belia, PKS

 

 

 

KUALA LUMPUR 25 Jan. - The Asia Foundation, dengan sokongan geran bernilai A$3.3 juta daripada badan filantropi Google, Google.org akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Penyelaras ASEAN untuk Perusahaan
Mikro, Kecil dan Sederhana (ACCMSME). 

 

Kerjasama ini bertujuan untuk melatih sehingga 200,000 orang dari kawasan luar bandar dan masyarakat kurang berkemampuan.

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerjasama itu dapat menyumbang kepada pengembangan kapasiti perusahaan ASEAN dalam digitalisasi. 

 

"Dalam masa sama, ia juga akan membantu mewujudkan integrasi digital rantau ini seperti yang diharapkan oleh ASEAN Digital Intergration Framework (DIF)," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Program itu memberi fokus untuk menutup jurang digital di seluruh ASEAN, selaras dengan visi yang ditetapkan oleh Agenda Tindakan ACCMSME berdasarkan Digitalisasi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana ASEAN melalui Pembangunan Kapasiti.

 

Di Malaysia, rakan pelaksana terpilih, International Youth Center dan Startup Malaysia, akan menggunakan sebahagian daripada dana tersebut untuk menghasilkan modul latihan literasi digital dengan tujuan untuk melatih 15,000 belia dan pengusaha mikro, kecil dan sederhana (PKS), dengan 50% daripadanya adalah wanita.

 

Latihan akan tertumpu pada kemahiran seperti membuat profil dalam talian di platform rangkaian profesional, menjalankan perniagaan dalam talian melalui media sosial dan menggunakan portal pekerjaan.

 

Sementara itu, Presiden The Asia Foundation, David D. Arnold berkata, kerjasama itu dapat mengumpulkan kepakaran dan pendekatan daripada sektor kerajaan, perniagaan dan NGO untuk membantu merapatkan jurang digital. 

 

"Di kampung dan di bandar-bandar kecil di rantau ini, pejabat tempatan The Asia Foundation akan memimpin
rangkaian komuniti pelatih dan sukarelawan untuk membantu pemilik PKS dan pekerja guna tenaga tidak penuh (underemployed) ke dalam ekonomi digital," katanya. 

 

Menurut hasil tinjauan Post-COVID-19 yang dijalankan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada  Ogos lalu, lebih banyak perlu dilakukan oleh PKS dari segi usaha digitalisasi agar Malaysia menjadi
sebahagian daripada ekonomi digital yang sedang berkembang. 

 

Daripada 2,118 responden perniagaan, 45.76% telah menggunakan e-dagang manakala hanya 19.02% yang menggunakan teknologi dan digitalisasi. - DagangNews.com