GO+ raih 1.5 juta pengguna selepas 2 bulan dilancarkan - Principal | DagangNews Skip to main content

GO+ raih 1.5 juta pengguna selepas 2 bulan dilancarkan - Principal

Gambar SoyaCincau

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Julai - Kira-kira 1.5 juta pelanggan telah menggunakan e-dompet GO+, hanya dalam tempoh dua bulan lebih selepas ia dilancarkan oleh perkongsian pintar antara Principal Asset Management Berhad (Principal) dan TNG Digital Sdn Bhd (TNG Digital).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Principal Asset Management, Munirah Khairuddin berkata, Principal telah mempercepatkan initiatif transformasi digital mereka dan kekal fokus dalam memberi kesedaran mengenai kepentingan perancangan kewangan yang baik dan meneruskan usaha dalam menyediakan penyelesaian pelaburan.

 

“Keterangkuman kewangan adalah sebahagian daripada initiatif transformasi digital kami justeru itu, kami akan terus mempertingkatkan khidmat kami.

 

“Melalui penyelasaian pelaburan eWallet GO+, kami mendapati pengguna penyelesaian ini adalah dari kalangan pelbagai lapisan masyarakat, lebih-lebih lagi mereka yang di luar Lembah Klang.

 

Munirah Khairuddin
Munirah Khairuddin

 

“Justeru itu, ini menepati matlamat kami dalam berkongsi, menyedia dan membantu rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang mereka agar mereka dapat mencapai matlamat kewangan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

 

GO+ telah dilancarkan pada 29 Mac 2021, salah satu inisiatif keterangkuman kewangan yang membolehkan rakyat Malaysia untuk melabur dalam pasaran wang berisiko rendah dengan harga serendah RM10.

 

Selain daripada GO+ yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat, Principal turut menawarkan penyelesaian digital lain seperti platform dalam talian EPF I-Invest yang membolehkan pemegang akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melaburkan wang mereka ke dalam dana unit amanah.

 

Platform ini dapat membantu mereka untuk meningkatkan wang simpanan KWSP dan membolehkan untuk membuat persiapan agar dapat bersara dengan selesa.

 

Ketua Pegawai Eksekutif ASEAN Principal, Juan Eyzaguirre berkata, dalam proses peralihan syarikat daripada fasa bertindak balas kepada pemulihan, fokus mereka adalah berpusat kepada perkembangan dan pengukuhan syarikat pada masa akan datang.

 

“Principal turut diiktiraf oleh Alpha Southeast Asia bagi tiga kategori iaitu Platform Mudah Alih dan Dalam Talian Terbaik; Dana nisbah Sharpee optimal Terbaik; dan Pengurus Dana untuk Mandat Pencen & Skim Persaraan Swasta Terbaik untuk pasaran Malaysia pada Anugerah Tahunan Pengurusan Dana yang ke-12,” katanya.

 

Pada hari ini, Principal Asset Management Group terus meningkatkan perkhidmatannya kepada para  pelanggan runcit dan institusi dengan aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak RM97 bilion pada Mei 2021. - DagangNews.com