Go Shop bantu Astro Malaysia kekal untung | DagangNews Skip to main content

Go Shop bantu Astro Malaysia kekal untung

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Sept. - Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro Malaysia) yakin rancangan beli-belah miliknya, Go Shop akan membawa syarikat itu untuk meraih keuntungan berterusan, kata CGS-CIMB Research.

Astro Malaysia memegang 60% pemilikan Go Shop. 

Selepas mencapai paras tertinggi pada suku pertama tahun 2021, keuntungan selepas cukai Go Shop melonjak kepada RM6.8 juta pada suku kedua tahun kewangan 2021.

Selain perkhidmatan tontonan pra bayar NJOI menyaksikan pertumbuhan hasil 14% yang menunjukkan penerimaan meluas dalam pasaran, Astro Malaysia dijangka berprestasi lebih baik pada separuh tahun kewangan kedua 2021 (2HFY1/21).

“Keuntungan bersih separuh tahun kewangan pertama 2021 memenuhi 45% jangkaan kami. 

“Kami melihat Astro Malaysia bakal menunjukkan prestasi lebih baik pada 2HFY1/21 dengan jualan iklan dan kutipan bil langganan kembali pada paras normal selepas dilonggarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Jun 2020.

“Tidak termasuk RM19 juta daripada kerugian pertukaran asing dan RM9.4 juta kemerosotan kutipan hutang, keuntungan bersih Astro Malaysia merosot 33.1% pada separuh tahun kewangan pertama 2021 berbanding tempoh sama tahun lalu kepada RM235.9 juta,” kata CGS-CIMB. 

Susulan itu, CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘tambah’ pada saham Astro Malaysia dengan sasaran harga (TP) RM1.18.

Penurunan sebanyak 37% sejak mengumumkan perolehan pada suku pertama 2021 pada 18 Jun lalu memberi peluang kepada pelabur untuk mengumpul saham Astro Malaysia dengan harga murah dan berpotensi menikmati 46.3% sasaran harga dan keuntungan tahun kewangan 2021 hingga 2023 sebanyak 8.7% hingga 9.8%.

“Tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangkakan pada tahun 2020, kami melihat Astro Malaysia mampu memanfaatkan dasar dividennya dengan sekurang-kurangnya 75% pembayaran keuntungan bersih yang dilaporkan,” tambah CGS-CIMB.

Namun, ini bergantung kepada pengukuhan mata wang Malaysia. - DagangNews.com