Golongan belia teruja dengan penganjuran e-Sukan di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Sabah | DagangNews Skip to main content

Golongan belia teruja dengan penganjuran e-Sukan di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Sabah

Oleh RAYYAN DAN

KOTA KINABALU 22 Mei - Persepsi terhadap industri e-Sukan kini sudah berubah dan diterima ramai, malah sukar dinafikan ia sebahagian aspek penting dalam membina generasi masa depan.

 

Itu antara yang disuarakan pengunjung terutamanya golongan belia yang ditemui pada program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.

 

Seorang pengunjung, Hafeez Gilbert, 19, yang meminatui permainan PlayerUnknown's Battleground (PUBG) berkata, dia dan lima rakannya dari Keningau datang ke program berkenaan sebaik mengetahui penganjurannya yang turut membabitkan e-Sukan.

 

Katanya, dorongan minat yang mendalam terhadap permainan berkenaan selain usaha pelbagai pihak dalam mewujudkan lebih banyak penganjuran pertandingan memberi gambaran ia mampu pergi lebih jauh.

 

“Kita boleh lihat, penganjurannya sudah memasuki Sukan SEA baru-baru ini, ia bermaksud bidang ini mempunyai masa depan tersendiri.

 

“Ia bukan lagi sekadar hobi untuk membuang masa,” katanya ketika ditemui hari ini.

 

Seorang lagi peserta e-Sukan, Abdul Aif Izz Abdul Latif, 22, berkata, e-Sukan adalah bidang yang boleh membuat negara semakin maju.

 

 

AKM
Hafeez Gilbert

 

 

AKM
Abdul Aif Izz Abdul Latif

 

 

Katanya, ia sudah berada pada tahap baharu berbanding sebelum ini yang lebih dipandang serong oleh segelintir masyarakat.

 

“Dengan adanya lebih banyak penganjuran sukan ini, maka sudah tentu lebih ramai bakat baharu akan muncul dari semasa ke semasa.

 

 

AKM

 

 

AKM

 

 

“Tidak dinafikan, ketika ini ia boleh dijadikan karier masa depan untuk sesiapa sahaja,” katanya.

 

Kenyataan itu turut disokong seorang lagi pelajar dari sekolah St John Tuaran, Irfan Rojaydi, 16, yang menyatakan sukan berkenaan sememangnya mempunyai masa depan cerah.

 

 

AKM
Irfan Rojaydi

 

 

Bagaimanapun katanya, di sebalik minat mendalam dalam e-Sukan, setiap generasi tidak harus mengabaikan pendidikan untuk masa depan masing-masing. - DagangNews.com