Golongan milenial dan generasi Z alami tekanan akibat pandemik - Kaji selidik Deloitte | DagangNews Skip to main content

Golongan milenial dan generasi Z alami tekanan akibat pandemik - Kaji selidik Deloitte

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 22 Julai - Masalah kewangan, keluarga dan kebimbangan mengenai pekerjaan menjadi antara punca menyebabkan golongan milenial dan generasi Z di negara ini mengalami tekanan disebabkan pandemik COVID-19.

 

Kaji selidik yang dijalankan Deloitte ke atas golongan tersebut tahun ini mendapati 44% milenial dan 37% generasi Z berdepan dengan tekanan hampir sepanjang masa. 

 

Malah, ia juga memberi tempias di tempat kerja apabila kira-kira sepertiga daripada responden merangkumi 31% milenial dan 35% generasi Z mengambil cuti kerana tertekan dan bimbang. 

 

Bagaimanapun, kajian itu mendapati hampir separuh daripada kumpulan ini memberi alasan berbeza kepada majikan mereka mungkin disebabkan stigma mengenai kesihatan mental di tempat kerja.

 

Hakikatnya, hanya 38% milenial dan 35% generasi Z yang merasa cukup selesa untuk berkomunikasi secara terbuka dengan penyelia mereka mengenai tekanan yang dihadapi.

 

Terdapat hampir 40% pula menyatakan majikan mereka tidak membantu dari segi kesihatan mental ketika pandemik ini.

 

Sebaliknya, hanya 32% milenial dan 23% generasi Z berpendapat majikan mereka di Malaysia menyokong kesejahteraan kesihatan mental dan fizikal.

 

 

Sumber : Deloitte

 

 

Ketua Bahagian Bakat Deloitte Malaysia, Tan Hooi Beng berkata, isu berkaitan kesihatan mental bukan suatu perkara yang mudah tetapi ia sangat bermakna kepada mereka yang berdepan tempoh mencabar.

 

Katanya, apabila ramai bekerja di rumah disebabkan sekatan pergerakan, adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk memberi sokongan kepada tahap kesihatan mental pekerja.

 

"Adalah penting bagi tempat kerja untuk menggalakkan persekitaran yang terbuka dan inklusif supaya memudahkan mereka berkomunikasi dengan selesa mengenai tekanan, kerisauan dan cabaran kesihatan mental yang dialami," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Berdasarkan kaji selidik itu juga didapati pandemik COVID-19 semakin meningkatkan kebimbangan golongan tersebut terhadap masa depan kewangan mereka yang tidak menentu.

 

Separuh daripada responden di Malaysia menyatakan mereka 'selalu bimbang atau tertekan' apabila memikirkan situasi kewangan. 

 

Didapati, hanya 36% milenial dan 40% generasi Z percaya kedudukan kewangan mereka akan bertambah baik pada tahun hadapan.

 

Kaji selidik Golongan Milenial dan Generasi Z Deloitte 2021 itu sudah memasuki tahun ke-10 dengan tahun ini ia membabitkan seramai 14,655 milenial dan 8,273 generasi Z merentasi 45 buah negara termasuk Asia Pasifik, Amerika Utara, Amerika Latin, Eropah Barat, Eropah Timur, Asia Barat dan Afrika.

 

Di Malaysia, ia membabitkan 300 responden iaitu 200 golongan milenial dan 100 generasi Z.

 

Golongan milenial dalam kajian ini merujuk kepada mereka yang dilahirkan antara Januari 1983 hingga Disember 1994 manakala generasi Z pula antara Januari 1995 hingga Disember 2003. - DagangNews.com