Grab tawar caj penghantaran serendah RM1, khidmat penghantaran premium | DagangNews Skip to main content

Grab tawar caj penghantaran serendah RM1, khidmat penghantaran premium

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Grab Malaysia kini menawarkan caj penghantaran serendah RM1 bagi restoran atau kedai makan dalam lingkukan radius tiga kilometer dalam kategori 'Near Me'.

 

Grab berkata, ciri baharu itu diperkenalkan bagi memudahkan penggunanya menemui restoran dan kedai makan berhampiran sekaligus menyokong restoran di kejiranan pelanggan.

 

"Grab akan memberi subsidi penghantaran sekaligus memastikan pendapatan rakan penghantar Grab tidak terjejas.

 

"Kini pelanggan boleh menikmati pelbagai promosi yang ditawarkan termasuk 'Hot Deals' dan Minggu Peniaga Kecil bagi mendapatkan pilihan makanan murah berdekatan mereka pada bila-bila masa," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambahnya, selain itu pengguna yang kesuntukan masa boleh memilih ’Masa Penghantaran Terjamin’ untuk memastikan masa penghantaran pesanan terjamin dan tiba pada waktu yang ditetapkan.

 

"Dari program perintis ciri ‘Masa Penghantaran Terjamin’ yang dijalankan pada bulan Ogos lalu, satu daripada tiga pelanggan telah memilih ‘Masa Penghantaran Terjamin’ pada waktu puncak.

 

"Pelanggan yang memilih ‘Penghantaran Premium’ akan diberi ganti rugi dalam bentuk baucer GrabFood sekiranya mereka tidak menerima pesanan mengikut masa yang tertera pada aplikasi Grab. 

 

Katanya, selain tambahan kepada ciri-ciri baharu untuk pesanan makanan, para pelanggan juga boleh menjadualkan pesanan makanan, sama ada dihantar pada waktu pilihan yang lebih lewat atau pengambilan sendiri.

 

"Grab komited untuk terus  mengembangkan dan memperbaiki perkhidmatan kami dengan menawakan solusi nilai tambah yang boleh memenuhi  keperluan pelbagai pelanggan.

 

"Menerusi tindakan proaktif ini, Grab bercadang untuk merangka tindakan mampan dan menjadikannya platform berkeuntungan untuk memanfaatkan para peniaga, pemandu dan rakan penghantar lain yang sedang mencari peluang menjana  pendapatan," katanya. -DagangNews.com