Skip to main content

GrabBenefits diperbaharui dengan kemahiran, daya tahan kewangan

 GrabBenefits

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 4 Dis. - Program manfaat pertama seumpamanya di Malaysia untuk pekerja platform dalam ekonomi gig, GrabBenefits diperbaharui dengan inisiatif yang dapat meningkatkan kemahiran dan daya tahan kewangan lebih 120,000 rakan pemandu dan penghantar.  

 

Pembaharuan program tersebut adalah termasuk kelas celik kewangan dan produk insurans tambahan yang membolehkan pemandu membuat pilihan dan keputusan yang lebih tepat untuk meningkatkan dan melindungi kehidupan melalui iklim ekonomi yang tidak menentu.

 

Pengarah Urusan Grab Malaysia, Sean Goh berkata, komitmen pihaknya adalah untuk memperkasakan dan meningkatkan kesejahteraan ratusan ribu rakan kongsi yang mencari pendapatan melalui Grab.

 

"Kami ingin memberi mereka lebih banyak peluang untuk menjana pendapatan dengan kami, menyokong mereka dengan manfaat yang dicipta secara khusus mengikut keperluan semasa, dan memastikan mereka merasai pengalaman seharian yang menyeronokkan dengan Grab. 

 

"GrabBenefits yang diperbaharui adalah satu lagi langkah ke hadapan dan merupakan sebahagian daripada pelaburan berterusan kami dalam menetapkan standard dan memberikan manfaat terbaik untuk rakan-rakan kongsi kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Program tersebut mula diperkenalkan pada tahun 2017 untuk membantu mengurangkan kos operasi rakan pemandu-pemandu Grab 

 

Program GrabBenefits yang diperbaharui akan memberi tumpuan kepada memperkasa daya tahan kewangan dengan menyediakan kursus peningkatan kemahiran di GrabAcademy dan program pembiayaan termasuk;

 

  • Modul celik kewangan oleh Standard Chartered di mana rakan kongsi dapat mengakses kursus latihan dengan mudah melalui aplikasi Grab Partners / dalam talian. Kerjasama ini bertujuan untuk melengkapkan rakan kongsi Grab dengan kemahiran dan pengetahuan kewangan yang membolehkan mereka membuat keputusan yang tepat mengenai sumber kewangan mereka.

 

  • Program ‘Driver PayLater’ yang disasarkan kepada rakan kongsi yang memenuhi kriteria yang diperlukan untuk memberikan bantuan kewangan untuk bil dan keperluan bulanan mereka.

 

  • Artikel dan petua pendidikan GrabFinance untuk melengkapkan rakan kongsi Grab dengan pengetahuan yang tepat tentang cara terbaik mengurus kewangan mereka dan mewujudkan tabiat menabung yang sihat untuk masa depan mereka.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Standard Chartered Bank Malaysia, Abrar A. Anwar yang turut menyokong usaha Grab dalam memperkasa ketahanan kewangan berkata, pihaknya memuji komitmen Grab dalam menyediakan pengetahuan celik kewangan yang boleh diakses oleh rakan pemandu dan penghantar.

 

"Kami sangat gembira dapat menjadi sebahagian daripada program ini untuk membantu rakan-rakan kongsi Grab bagi membina pengetahuan kewangan mereka untuk masa depan. 

 

"Walaupun mereka telah memberikan sumbangan besar dengan memenuhi keperluan harian rakyat Malaysia, kami kini ingin menggalakkan mereka untuk menjaga dan menetapkan matlamat kewangan mereka sendiri," jelas beliau.

 

 

Sokongan lain dalam GrabBenefits termasuk;

 

  • Membantu rakan kongsi Grab untuk menyediakan kualiti hidup yang lebih baik dan menjaga kesejahteraan mereka, dengan menawarkan penyelesaian dan produk yang sesuai dengan corak pendapatan mereka. Ini termasuk perlindungan insurans yang berkaitan dengan pekerjaan, seperti insurans Kemalangan Diri GrabInsure dan juga Insurans Harian Grab yang melindungi pemandu dan penumpang pada setiap pemanduan; dan simpanan atau rancangan caruman yang lebih mudah seperti untuk PERKESO dan Zakat.

 

  • Program ini bertujuan untuk melindungi penjimatan kos dengan menyediakan keperluan penting bagi rakan kongsi Grab untuk melaksanakan pekerjaan mereka seperti potongan harga minyak dan penyelenggaraan kenderaan melalui panel rakan kongsi kami di seluruh negara, dan menyediakan beberapa Grab Pit Stops untuk rakan kongsi berehat. Pemandu dan rakan penghantar Grab dapat mengakses penjimatan merentas beberapa jenama seperti Petronas, Liqui Moly, Shell, Celcom, GrabFood, GrabPay, GrabInsure dan GrabRewards. - DagangNews.com