Graduan harap dapat kerja menerusi program Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia | DagangNews Skip to main content

Graduan harap dapat kerja menerusi program Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia

Oleh RAYYAN DAN

KOTA KINABALU 22 Mei - Menaiki bas sejauh lebih 150 kilometer dari Pekan Sook ke Kota Kinabalu untuk cuba mendapatkan pekerjaan pada Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia sempena siri Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi Sabah.

 

Itu cabaran terpaksa dihadapi seorang bekas penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana, Habina Zakaria, 26, yang sehingga kini masih mencari peluang pekerjaan.

 

Graduan yang berkelayakan ijazah sarjana muda penulisan skrin itu berkata, sejak tamat pengajian, dia sudah memohon banyak tawaran kerja kosong, namun sehingga kini masih gagal mendapatkan kerja.

 

Katanya, dia amat berharap agar berjaya mendapatkan pekerjaan bagi membantu keluarga selain membina masa depan yang lebih cerah.

 

“Saya berharap usaha yang dilakukan hari ini akan mendapat jawapan yang diinginkan. Saya mahu dan amat memerlukan pekerjaan.

 

“Sebaik mendapat tahu penganjuran program hari ini menerusi media sosial, saya nekad untuk turun dari kampung di pedalaman Sabah untuk mencuba nasib,” katanya ketika ditemui, hari ini.

 

Habina berkata, dia tidak memilih pekerjaan sebaliknya berharap apa saja kerja yang diperolehi kelak akan membuka peluang lebih baik di masa akan datang.

 

 

AKM

 

 

AKM

 

 

Bagi salah seorang majikan yang menyertai program berkenaan, Derrick Veerasingam dari syarikat Intel Technology pula berkata, pihaknya menyertai program berkenaan untuk mengisi beberapa ratus kekosongan.

 

Katanya, mereka kini mempunyai dua pusat operasi yang berpangkalan di Pulau Pinang dan Kulim, Kedah.

 

“Sejak hari pertama karnival ini, kita menerima banyak permohonan calon daripada pelbagai peringkat kelayakan.

 

“Selepas ini, kita akan membuat tapisan sebelum memanggil mereka yang layak untuk ke peringkat seterusnya,” katanya.

 

Sementara itu, Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Karnival Jamin Kerja AKM, Joewell David berkata, sepanjang tiga hari karnival berkenaan diadakan, terdapat lebih 3,000 tawaran kekosongan kerja membabitkan 40 majikan disediakan.

 

 

AKM

 

 

AKM

 

 

Namun katanya, setakat dua hari pertama karnival itu, pihaknya menerima pendaftaran sebanyak 459 calon pencari kerja.

 

“Kita berharap, lebih ramai lagi pencari kerja akan datang mencuba nasib untuk mendapatkan kerja di sini.

 

“Malah, nasib setiap calon yang gagal di sini, tidak berakhir begitu saja. Kita akan menyimpan data mereka menerusi ‘Myfuturejobs’ untuk peluang lain di masa akan datang," katanya.

 

Joewell berkata, sekiranya ada peluang lain di masa akan datang, kita akan melakukan ‘match making’ untuk mengetengahkan calon yang sesuai.

 

“Ia bergantung kepada pengalaman kerja dan latar belakang pendidikan calon masing-masing. Sekiranya sesuai, kita akan terus menghubungi mereka untuk penetapan temuramah,” katanya. - DagangNews.com