Greatech jangka kilang baharu di Batu Kawan siap menjelang April 2022 | DagangNews Skip to main content

Greatech jangka kilang baharu di Batu Kawan siap menjelang April 2022

 

 


KUALA LUMPUR 13 Okt. - Greatech Technology Bhd. menjangkakan pembinaan kilang baharunya di Batu Kawan, Pulau Pinang bernilai RM51 juta dijadualkan siap menjelang April 2022 dan sedia diduduki pada Mei. 

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, kemudahan baharu tersebut mencerminkan komitmen Greatech untuk berkembang kukuh di Pulau Pinang dan menyokong pertumbuhan pekerjaan di wilayah utara.  

 

"Malah, kumpulan selalu melihat dan memajukan pertumbuhan di negeri ini," katanya hari ini.

 

Greatech hari ini mengadakan majlis pecah tanah secara maya bagi menandakan bermulanya pembinaan kilang tersebut dan turut melancarkan slogan baharu, 'Accelerate the Future'.

 

Yang turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong; Pengerusi Lembaga Pengarah Greatech, Ooi Hooi Kiang dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Tan Eng Kee. 

 

Kilang pengeluaran moden dan bangunan pejabat dengan keluasan 265,000 kaki persegi ini boleh menempatkan sehingga 500 pekerja dibina di kawasan seluas 7 ekar dapat membantu mempercepatkan penghantaran kepada pelanggan dan menyokong pertumbuhan mapan pada masa hadapan.
 

 

Ia terletak tidak jauh daripada 2 kemudahan baharu Greatech di Batu Kawan dan berdekatan ibu pejabatnya di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

 

"Dengan kemudahan baharu ini, ia akan menyaksikan kapasiti kumpulan akan meningkat kepada 1.1 juta kaki persegi dengan 1,200 tenaga kerja. 

 

"Ini membolehkan penyedia penyelesaian automasi kilang ini meraih peluang yang lebih baik menerusi pelanggan baharu dan sedia ada," menurut Greatech. - DagangNews.com