Green Packet cadang peroleh 20% kepentingan dalam eMedAsia dengan pertimbangan RM20 juta | DagangNews Skip to main content

Green Packet cadang peroleh 20% kepentingan dalam eMedAsia dengan pertimbangan RM20 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Green Packet Bhd. memeterai perjanjian jualan saham (SSA) untuk memperoleh 20% kepentingan dalam eMedAsia Sdn. Bhd. daripada HS Bio Sdn. Bhd. dengan pertimbangan pembelian berjumlah RM20 juta.

 

eMedAsia mengendalikan platform penjagaan kesihatan digital yang bertujuan untuk mendigitalkan penjagaan kesihatan swasta melalui penyelesaian teknologi, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Pada masa ini, terdapat kira-kira 2,500 klinik ahli di Malaysia yang telah mendaftar dengan platform penjagaan kesihatan digital eMedAsia.

 

Sehubungan itu, katanya pemerolehan tersebut memberi peluang kepada Green Packet untuk menyertai sektor penjagaan kesihatan.

 

"Sinergi utama menumpukan pada memperluaskan penawaran fintech kumpulan dan penyelesaian eKYC kepada sektor penjagaan kesihatan digital, dan pangkalan pelanggan berpotensi eMedAsia untuk pengembangan perniagaan masa depan.

 

"Lembaga Pengarah yakin prospek masa depan syarikat kekal positif dan pengambilalihan itu akan mempermudahkan dan meningkatkan pertumbuhan dan kecekapan perniagaan kepada kumpulan," katanya.

 

Pertimbangan pembelian itu akan dilaksanakan secara tunai yang dibiayai menerusi dana dalaman dan hasil pelupusan saham biasa G3 Global Bhd. apabila diluluskan pemegang saham.

 

Cadangan pengambilalihan itu juga dipersetujui antara kedua-dua pihak bersandarkan kepada kerelaan pembeli dan penjual.

 

Green Packet menjangkakan pengambilalihan itu tidak memberi kesan kepada saham terbitan dan pemegangan utama kumpulan.

 

"Ia juga tidak memberi kesan kepada pendapatan sesaham, aset bersih dan penggearan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022," katanya. - DagangNews.com