Green Space Industries, Universiti Cranfield, Levidian Nanosystem bekerjasama bangunkan teknologi getah | DagangNews Skip to main content

Green Space Industries, Universiti Cranfield, Levidian Nanosystem bekerjasama bangunkan teknologi getah

KUALA LUMPUR 23 Sept - Green Space Industries Ltd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Cranfield United Kingdom dan Levidian Nanosystem Ltd untuk bekerjasama dalam kemajuan teknologi getah.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Getah Malaysia (MRC), Nor Hizwan Ahmad berkata, teknologi canggih itu menukar gas metana berbahaya kepada graphene yang lebih mesra alam apabila digabungkan dengan getah asli, bahan yang terbukti lebih mampan dan bertahan lama.

 

“Kerjasama ini secara tidak langsung menggalakkan kemajuan teknologi getah supaya inovasi boleh diterapkan untuk mentakrifkan semula masa depan penggunaan getah.

 

“Malaysia sebagai negara terkemuka dalam teknologi getah akan meraih  keuntungan melalui pengkomersilan produk getah berprestasi tinggi.

 

"Pada masa sama membuka pasaran baharu dan meningkatkan lagi rantaian nilai global industri getah Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, melalui pembangunan bahan getah kontemporari yang dirumus melalui penyerapan graphene dan lateks, penggunaan tersebut boleh dijalankan secara menyeluruh dalam industri yang melibatkan sumber bumi dan persekitaran aeroangkasa.

 

"Kami akan menjadi lebih progresif ke arah kemajuan tanpa had dengan kekayaan sumber getah yang kami ada, dari perladangan kepada aeroangkasa.

 

“Manusia sudah lama meneroka seluruh pelusuk bumi dan kini sudah tiba masanya untuk industri getah bergerak merentas sempadan,” katanya. - DagangNews.com