GST diperkenalkan semula: Wajar atau tidak? | DagangNews Skip to main content

GST diperkenalkan semula: Wajar atau tidak?

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

 


KUALA LUMPUR 13 Ogos - Tiga tahun selepas Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dimansuhkan di Malaysia, negara kini kembali berada dalam situasi apabila organisasi mula mengesyorkan cukai itu diperkenalkan semula.

 

Adakah kita akan melalui sekali lagi perbahasan yang tiada pengakhiran mengenai sama ada cukai itu wajar diperkenalkan atau tidak, atau ia bukan masa yang sesuai lagi untuk melaksanakannya? 

 

Profesor Kehormat Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Datuk Dr Madeline Berma berpendapat dengan krisis kesihatan yang dihadapi negara sekarang akibat daripada pandemik COVID-19, adalah wajar untuk menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan GST dalam Belanjawan 2023 dan seterusnya. 

 

Beliau berkata kerajaan boleh memperkenalkan semula GST kerana sistem asas cukai yang lebih besar akan meningkatkan cukai tidak langsung dan memberikan keanjalan untuk mengurangkan cukai langsung (cukai pendapatan perseorangan  dan cukai korporat) bagi menjadikan Malaysia destinasi perniagaan yang lebih menarik.

 

"Bagi menambah baik pelaksanaan GST dan penerimaan pengguna, saya fikir ia perlu diperkenalkan semula pada kadar lebih rendah daripada 6 peratus yang ditetapkan sebelum ini. 

 

"Walaupun GST lebih cekap dan telus berbanding SST, namun agak kurang sesuai untuk melaksanakannya sekarang kerana kebanyakan perniagaan ketika ini sama ada terjejas teruk atau berdepan penutupan disebabkan pengurangan jualan dan pendapatan, dan rakyat pula sedang bergelut dengan kos hidup tinggi ditambah dengan peningkatan kadar pengangguran di negara ini,” katanya kepada Bernama


 

Datuk Dr Madeline Berma
Datuk Dr Madeline Berma

 


Sementara itu, Pengarah Eksekutif Cukai Tidak Langsung Deloitte Malaysia Senthuran Elalingam berkata amat penting  sekali alasan-alasan untuk melaksanakan pembaharuan cukai dibincangkan dengan menyeluruh untuk memberikan kesedaran mendalam tentang keperluan bagi perubahan ini serta manfaatnya.

 

"Kajian  semula lebih meluas bagi  sistem cukai diperlukan, dan GST perlu dianggap  sebagai sebahagian daripada kajian  semula itu. Melaksanakan cukai baharu perlukan perundingan dan persetujuan daripada perniagaan dan orang awam bagi memastikan ia boleh dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.

 

Senthuran berkata seperti yang dicadangkan oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), kajian semula lebih meluas sistem cukai Malaysia perlu menangani ketidakseimbangan fiskal yang disebabkan oleh pandemik itu.  

 

"Semua pilihan perlu dibentangkan dan dibincangkan  serta dinilai secara menyeluruh, dan GST seperti yang dijangkakan, akan menjadi sebahagian daripada perbincangan itu.

 

"Dalam jangka masa sederhana hingga jangka panjang, menggantikan SST dengan GST daripada perspektif dasar cukai adalah suatu yang wajar. Terdapat cabaran besar untuk meluaskan cukai satu peringkat seperti SST.

 

"Percubaan baru-baru ini untuk memperluaskan skop telah menghasilkan banyak kesan yang tidak diinginkan seperti pelbagai peringkat cukai yang perlu dibayar dan kekeliruan terhadap skop itu. Sebarang keputusan untuk meluaskan SST akan memerlukan pertimbangan yang sangat teliti," kata Senthuran.

 

Beliau juga berkata  memperkenalkan semula GST akan menghapuskan semua cabaran  yang dihadapi SST ketika ini dan akan memberikan  lebih banyak ruang kepada kerajaan untuk meluaskan asas.

 

"Bagaimanapun, seperti yang dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, penentuan masa adalah kritikal, dan perniagaan perlu diberi masa untuk kembali stabil pasca pandemik sebelum menimbang untuk melaksanakan sistem cukai baharu," tambahnya.

 

OECD dalam laporan Tinjauan  Ekonomi OECD Malaysia 2021 telah mengesyorkan antara lainnya agar Malaysia melaksanakan semula  GST untuk merangsang pemulihan ekonomi negara dan meletakkan ekonomi di landasan yang kukuh pasca pandemik.

 

GST kali pertama dilaksanakan di Malaysia pada 1 April 2015 pada kadar 6 peratus. GST kemudiannya digantung pada 1 Jun 2018 dan akhirnya dimansuhkan apabila ia digantikan dengan sistem SST bermula 1 September 2018.

 

Kadar cukai semasa bagi cukai jualan adalah 5 peratus dan 10 peratus manakala kadar cukai perkhidmatan ialah 6 peratus. - DagangNews.com