GST mampu turunkan nisbah hutang Malaysia - Firma | DagangNews Skip to main content

GST mampu turunkan nisbah hutang Malaysia - Firma

Gambar AFP

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Mei - Firma penyelidikan di peringkat serantau, ASEAN+3 Macroeconomic Research Office (AMRO) melihat Malaysia mampu menurunkan nisbah hutang negara sekiranya memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) secara beransur-ansur. 

 

Penguatkuasaan semula GST sebanyak 6% akan meningkatkan hasil tambahan negara yang diperlukan bagi menurunkan defisit sekali gus merendahkan lagi hutang kerajaan ke tahap yang berpatutan, menurut laporan Annual Consultation Report on Malaysia yang dikeluarkan AMRO hari ini. 

 

Jelas laporan itu, apabila asas pemulihan ekonomi negara kukuh, pembaharuan sistem percukaian mungkin boleh diperkenalkan bagi ‘membimbing’ hutang kerajaan persekutuan kembali ke had statutori sebelum pandemik dalam jangka masa sederhana ini. 

 

“Simulasi-simulasi kemampanan hutang kami menunjukkan unjuran had hutang statutori yang lebih rendah iaitu 55% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang penghujung 2023 - seperti mana dirancangkan kerajaan - sesuatu yang mencabar. 

 

“Ini bermakna, dalam ramalan kami, memperkenalkan semula GST pada kadar 6% akan meningkatkan hasil tambahan yang diperlukan bagi menurunkan defisit serta merendahkan hutang kerajaan ke tahap yang diingini. 

 

“Oleh itu, terdapat keperluan untuk merangka dan melaksanakan pembaharuan cukai yang dapat menaikkan hasil negara, dalam masa sama tidak membahayakan pemulihan ekonomi,” jelas firma penyelidikan itu. 

 

Tambahnya, Malaysia mungkin boleh memperkenalkan semula GST secara berperingkat pada kadar awal yang lebih rendah. 

 

GST
SIMULASI impak pelaksanaan semula GST ke atas KDNK negara. - Sumber laporan AMRO

 

Penguatkuasaan semula GST pada kadar 6% dalam pertengahan tahun 2022 dijangka menyumbang tambahan hasil sebanyak 1.5% daripada KDNK berbanding SST, sekali gus bakal menyaksikan nisbah hutang kerajaan menyusut dengan mendadak daripada 63.9% pada 2021.

 

Sebelum itu, penganalisis di AMRO, Dr. Andriansyah dalam satu taklimat media berhubung laporan tersebut turut mencadangkan beberapa langkah sebelum Malaysia memperkenalkan semula GST. 

 

Ini termasuk, skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) boleh diperluaskan, di mana kerajaan boleh menumpukan usaha terhadap cukai perkhidmatan digital yang diperkenalkan pada Januari 2020 serta pergerakan di bawah Belanjawan 2021 untuk melaksanakan cukai ke atas rokok dalam zon bebas duti. 

 

Selain itu, tambah beliau, Malaysia juga boleh meningkatkan hasil tambahan dengan menaikkan kadar cukai pendapatan individu bagi kelompok berpendapatan tinggi atau meningkatkan kadar cukai eksais ke atas produk tertentu. 

 

Dalam masa sama, Malaysia boleh mempertimbangkan untuk memperkenalkan cukai keuntungan modal, katanya lagi. 

 

Berdasarkan jadual yang dibentangkan Andriansyah, kesemua langkah-langkah yang dicadangkan AMRO mampu mendatangkan kira-kira 2.95% impak hasil daripada KDNK Malaysia. 

 

Ujarnya lanjut, kesemua perubahan cukai itu boleh diberikan penekanan dengan usaha berterusan dalam menambah baik pelaksanaannya termasuk menggunakan nombor pengenalan cukai, meningkatkan audit cukai dan penguatkuasaan serta mengadakan program pendidikan cukai.

 

Ekoran pandemik COVID-19, Malaysia telah memperkenalkan enam pakej bantuan ekonomi sejak tahun lalu dengan nilai keseluruhan sebanyak RM340 bilion atau kira-kira 22% daripada KDNK.

 

Bagi memastikan ekonomi di landasan pemulihan tepat, kerajaan terpaksa meningkatkan had hutang statutori negara daripada 55% kepada 60% daripada KDNK sehingga tahun 2022. 

 

AMRO mengunjurkan purata 5.7% defisit daripada KDNK yang bakal dicatatkan Malaysia bermula tahun 2020 hingga 2022 berbanding 3.3% bagi tempoh lima tahun sebelumnya. - DagangNews.com