Guan Eng bidas Ka Siong dalam isu Facebook pinggirkan Malaysia bagi projek kabel internet | DagangNews Skip to main content

Guan Eng bidas Ka Siong dalam isu Facebook pinggirkan Malaysia bagi projek kabel internet


KUALA LUMPUR 5 April - Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengkritik Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong yang secara terbuka menyalahkan kementerian lain sebagai punca Facebook dan Google mengenepikan Malaysia dalam projek kabel internet bawah laut mereka.

 

"Pelabur teknologi asing dalam sektor digital, akan teragak-agak untuk datang ke Malaysia apabila tidak ada kesatuan Kabinet Menteri. Wee telah menafikan tanggungjawab terhadap kedegilan Kerajaan PN untuk mengembalikan polisi kabotaj terhadap kapal asing yang membaik pulih kabel bawah laut," katanya dalam kenyataan di sini.

 

Menurutnya, Malaysia Internet Exchange (MyIX) secara terbuka menyalahkan keputusan Kerajaan PN, kerana menarik semula pengecualian oleh Kerajaan PH sebelum ini kepada kapal asing yang terlibat dalam memperbaiki kabel bawah laut daripada dasar kabotaj, yang kini menyebabkan kerugian besar bagi negara.

 

underthesea

 

"Sebenarnya, Facebook, Google, Microsoft dan MyIX pada tahun lalu telah meminta Kerajaan PN untuk mengembalikan dasar pengecualian kabotaj oleh PH, dengan menekankan bahawa ia diperlukan untuk memastikan pemulihan kabel bawah laut dengan cepat dan memastikan tempoh tergendala internet yang minimum," kata Guan Eng.

 

Beliau turut mempersoalkan alasan Wee mengenai pemilihan Singapura oleh syarikat gergasi berteknologi tinggi ini kerana Facebook telah membina pusat data di Tanjung Kling Data Centre Park di republik.

 

"Sekiranya demikian, mengapa Indonesia juga dipilih dan bukan Malaysia," soal beliau.

 

 

weekasiong
Wee Ka Siong

 

"Dengan Wee menolak untuk bertanggungjawab atas kehilangan pelaburan Facebook dan Google di Malaysia, adakah Wee selepas ini akan menyalahkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri atau Kementerian Multimedia dan Komunikasi?

 

"Jika benar, kedua-dua Azmin Ali dan Saifudin Abdullah harus menjelaskan kepada rakyat mengapa Malaysia boleh kalah kepada Indonesia dan Singapura," kata Guan Eng lagi. - DagangNews.com

 

 

 

BACA JUGA :

Keputusan Facebook tiada kaitan dengan dasar kabotaj Malaysia, kata Wee Ka Siong

dan

Malaysia rugi besar Facebook pilih negara jiran pasang kabel internet