Guna Bahasa Melayu di semua jabatan, agensi kerajaan, GLC dan syarikat swasta - PM | DagangNews Skip to main content

Guna Bahasa Melayu di semua jabatan, agensi kerajaan, GLC dan syarikat swasta - PM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan penggunaan Bahasa Melayu secara meluas hendaklah dilaksanakan di semua jabatan dan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta. 

 

Ismail Sabri berkata, perluasan penggunaannya adalah penting kerana ia merupakan bahasa urusan rasmi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Awam.

 

Beliau berkata, seluruh Keluarga Malaysia terutamanya penjawat awam seharusnya memberikan komitmen untuk melaksanakan usaha memartabatkan bahasa berkenaan. 

 

"Sementara itu, usaha sewajarnya perlu dilakukan untuk memperluaskan pengajaran dan penggunaan Bahasa Melayu di institusi pendidikan tinggi.

 

"Jadikanlah peribahasa “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung” sebagai pegangan kerana cara itu barulah bahasa Melayu benar-benar boleh dijadikan alat perpaduan negara," katanya ketika berucap merasmikan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, Bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan sejak negara merdeka pada 1957 seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, sebagai Perkara 152 (1). Oleh itu, langkah memartabatkan Bahasa Melayu adalah juga usaha menjunjung tinggi Perlembagaan Negara.

 

"Banyak negara yang mencapai status negara maju dengan mendaulatkan bahasa sendiri. Kita sepatutnya mempunyai jati diri dan membuktikan bahawa mendaulatkan Bahasa Melayu tidak mengekang kemajuan negara. 

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

"Memartabat dan mengantarabangsakan Bahasa Melayu bukan kerja mudah kerana terlalu banyak cabaran yang dihadapi oleh pejuang bahasa," katanya.

 

Beliau berkata, Bahasa Melayu perlu dimartabatkan dalam negara, termasuk meminda Akta DBP 1959 bagi memberi kuasa kepada DBP untuk menjalankan penguatkuasaan terhadap kesalahan pengunaan bahasa berkenaan. 

 

"Begitu juga halnya dengan pindaan Akta DBP 1959. DBP telah mengadakan beberapa bengkel untuk memastikan urusan pindaan akta itu capai secepat yang boleh. DBP juga perlu menjalani proses transformasi dan peralihan paradigma, daripada Akta DBP 1959 yang hanya memperuntukkan kuasa Lembaga Pengelola dalam pelaksanaan prasarana badan itu kepada peranannya yang sewajarnya.

 

"Peranan dan tanggungjawab DBP sebagai badan perancangan bahasa, sastera dan penerbitan negara perlu dirincikan lebih jelas supaya peranannya lebih berkesan untuk mendukung dan melaksanakan peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan dan undang-undang lain yang berkaitan dengan bahasa kebangsaan," katanya.

 

Katanya, kerajaan sedar pentingnya penglibatan golongan cendekiawan dalam merancang dan melaksanakan gagasan pemimpin dan dasar negara selain pandangan seluruh Keluarga Malaysia. 

 

"Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih, kepada DBP, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Institut Peradaban Melayu (IPM) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang bekerja keras menjayakan simposium ini.

 

"Saya sangat gembira kerana ramai tokoh besar negara terlibat di dalam simposium ini, sama ada sebagai pemberi ucap utama, pembentang kertas kerja, panelis forum atau moderator. Saya yakin mereka akan dapat memberikan nilai tinggi kepada dapatan simposium ini nanti.

 

"Saya yakin simposium ini dapat mengenal pasti segala halangan yang ada untuk memartabatkan Bahasa Melayu serta mengemukakan satu rangka kerja khusus untuk mengatasi halangan itu," katanya.

 

Dalam pada itu, Ismail Sabri mengucapkan tahniah kepada Amerika Syarikat, Russia, Perancis, Jerman, Belanda, Australia, China, Korea Selatan, Uzbekistan, Azerbaijan, Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam, Thailand, Kemboja dan Filipina yang sudi memberi buah fikiran mereka dalam simposium tersebut.

 

"Terima kasih juga kepada 60 pembentang kertas kerja dalam 15 sidang yang menyentuh pemartabatan Bahasa Melayu dalam pelbagai bidang seperti Pendidikan, Pendidikan Tinggi, Undang-Undang, Ekonomi, Diplomasi, Pengurusan, Sains, Teknologi, Multimedia dan Komunikasi dan sebagainya. Ini merupakan sesuatu yang mengagumkan.

 

"Saya juga mengucapkan syabas kepada semua pihak yang menjayakan segmen pameran yang memaparkan sejarah perjuangan tokoh-tokoh terdahulu dalam memartabatkan Bahasa Melayu yang mana perjuangan mereka amat penting dan wajar dikenang. 

 

"Semoga symposium ini dapat dijadikan pentas dalam memartabat dan mengantarabangsakan bahasa Melayu iaitu bahasa yang menjadi kebanggaan dan identiti kepada Keluarga Malaysia yang berbilang kaum dan bersatu padu," katanya. - DagangNews.com