Guna i-Sinar, i-Lestari melabur dalam pasaran saham - Kaji selidik | DagangNews Skip to main content

Guna i-Sinar, i-Lestari melabur dalam pasaran saham - Kaji selidik

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 21 Jun - Pengeluaran i-Sinar dan i-Lestari menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjadi antara sumber dana utama yang digunakan pelabur runcit untuk melabur dalam pasaran saham.

 

Malah, berdasarkan kaji selidik sentimen pelabur runcit 2021 yang dijalankan CGS-CIMB juga mendapati mereka mengunakan dana tambahan daripada pengurangan caruman KWSP untuk melabur selain wang simpanan dan pendapatan daripada gaji dan sumber pendapatan lain. 

 

Bagaimanapun, ia turut menunjukkan lebih ramai responden membiayai pelaburan mereka dalam pasaran saham menerusi keuntungan pembiayaan berbanding tahun lalu.

 

"Oleh itu, kami berpendapat, beberapa pakej rangsangan yang disediakan kerajaan untuk membantu isi rumah mungkin sebahagiannya menyumbang kepada kecairan yang disuntik ke dalam pasaran saham. 

 

"Ini kerana responden telah menununjukkan aliran runai daripada pengurangan caruman atau skim pengeluaran itu digunakan untuk melabur dalam pasaran saham baru-baru ini," katanya dalam laporan itu hari ini. 

 

Kerajaan pada November lalu mengurangkan caruman KWSP daripada 11% kepada 9% bagi tahun ini.

 

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, statistik KWSP setakat 12 Mei 2021 menunjukkan 6.4 juta ahli mengeluarkan RM57 bilion menerusi kemudahan i-Sinar, manakala RM20.8 bilion i-Lestari menerusi 5.3 juta ahlinya. 

 

Sumber : CGS-CIMB
Sumber : CGS-CIMB

 

 

Secara keseluruhan, penyertaan pelabur runcit dalam pasaran saham adalah tertinggi dalam tempoh 5 bulan tahun ini merangkumi 37% dengan pembelian ekuiti berjumlah RM6.4 bilion.

 

Kaji selidik tahunan edisi kedua itu membabitkan 1,044 pelabur runcit di Malaysia dijalankan selamat 41 hari bermula 20 April hingga 31 Mei 2021.

 

Menurut kaji selidik itu, 49% daripada responden memilih untuk melabur secara terus dalam pasaran saham tempatan diikuti Amanah Saham Nasional Berhad dan KWSP merangkumi 13.5% diikuti pelaburan menerusi unit saham amanah di luar dan dalam negara, masing-masing 8.4%.

 

Ia turut menunjukkan produk 'roboadvisor' semakin popular dalam kalangan pelabur pasaran saham mungkin disebabkan ia mempunyai akses yang mudah.

 

"Pelabur juga tidak meletakkan pelaburan mereka dalam segmen yang sama, sebaliknya, mereka berminat untuk mempelbagaikan pelaburan di luar negara.

 

"Kami mendapati, kumpulan pelabur yang berpendapatan tinggi lebin tertarik dengan pelaburan di luar negara manakala kumpulan berpendapatan rendah lebih selesa dengan ASB/KWSP," katanya.

 

 

Sumber : CGS-CIMB
Sumber : CGS-CIMB

 

 

Berdasarkan kaji selidik itu, CGS-CIMB berkata, kebanyakan pelabur bimbang dengan situasi ekonomi dan politik semasa di samping faktor luaran seperti ekonomi global.

 

"Selain itu, mereka juga risau mengenai kejatuhan dalam pasaran saham dan penarikan balik pakej rangsangan fiskal oleh kerajaan," jelasnya.

 

CGS-CIMB berkata, 32.8% responden memilih untuk melabur semula hasil keuntungan mereka dalam pasaran saham manakala 21% pula menggunakan keuntungan daripada pelaburan sebagai persediaan untuk persaraan.

 

Selain itu, mereka mahu menggunakannya untuk membiayai kos sara hidup diikuti pembelian hartanah atau membeli-belah.

 

"Tidak ramai yang mahu menggunakan keuntungan daripada pasaran saham untuk membeli kenderaan baharu, membayar hutang, simpanan pendidikan anak-anak atau melancong, yang mana ini mungkin disebabkan keadaan ekonomi yang lemah, dan mempengaruhi trend perbelanjaan," tambahnya.

 

Sumber : CGS-CIMB
Sumber : CGS-CIMB

 

 

Berdasarkan kaji selidik itu juga, didapati 89% daripada responden menunjukkan pendapatan boleh lupus semasa mereka kekal berada di bawah tahap sebelum COVID-19.

 

"Meskipun kami menjangkakan, kadar pengangguran akan bertambah baik secara beransur-ansur kepada 4% menjelang akhir tahun ini, tetapi ia masih berada di paras tinggi berbanding akhir 2019, 3.3%. 

 

"Pembukaan semula ekonomi dan pasaran buruh yang kurang terjejas adalah penting untuk memulihkan kembali pendapatan isi rumah," katanya.

 

Di samping itu, corak pembelian pengguna juga berubah dengan mengambil kira krisis COVID-19 yang masih berlanjutan. 

 

CGS-CIMB berkata, kaji selidik itu menunjukkan 46% responden berhasrat untuk mengurangkan perbelanjaan tidak penting manakala 43% mahu memastikan perbelanjaan tetap stabil, sementara hanya 11% merancang untuk meningkatkan peruntukan untuk barang keperluan.

 

Malah, trend ini juga katanya hampir sama seperti perbelanjaan berhemah yang mana kira-kira separuh daripada responden merancang untuk mengurangkan perbelanjaan berbanding 36% tidak menukar corak perbelanjaan manakala 14% mahu meningkatkan perbelanjaan mereka.

 

"Secara tidak langsung, kaji selidik ini menunjukkan sentimen pengguna kekal lemah, walaupun pemerhatian ini bersandarkan kepada data sampel, yang cenderung ke arah individu yang pendapatannya lebih tinggi daripada rata-rata penduduk," katanya.

 

Didapati juga, responden mahu mengurangkan perbelanjaan dalam hotel dan pelancongan, pakaian, pengangkutan dan bahan api, restoran serta rekreasi dan hiburan. - DagangNews.com