Guna Platform Ini Kalau Rasa Media Sosial Semakin Mahal | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Idea Digital - 17 October 2020

Guna Platform Ini Kalau Rasa Media Sosial Semakin Mahal

 

 

 

Sebenarnya, memang pun. Media sosial kini semakin mahal. Tidak dinafikan lagi. Sejak 2018, mereka sudah mengetatkan lagi pelbagai peraturan yang ada agar pergerakan organik bagi setiap status yang kita muat naik di bahagian Business Page hampir tidak wujud kecuali dengan bayaran iklan. Sejak itu, saya sudah tidak lagi begitu agresif menggunakan Facebook, LinkedIn, Twitter mahupun Instagram untuk mendapatkan peluang-peluang bisnes yang berkaitan pemasaran digital. Cukuplah sekadar menulis beberapa kali seminggu di sana, bagi memberitahu secara tidak langsung kepada para pengikut saya yang saya ini masih lagi wujud. Itu sahaja.

 

Kalau dahulu masa zaman jahiliah, rutin harian saya di media sosial memang gila. Hampir 10 hingga 12 status terkini dimuat naik ke setiap platform setiap hari. Ini bermakna selang satu jam akan ada status terbaharu. Malah, ada masa-masa tertentu terutamanya ketika idea sedang banyak, dalam sejam kadang-kadang sampai 2-3 kali muat naik status terbaharu. Punyalah taksub, mengharapkan peluang bisnes untuk cepat muncul dalam hidup saya ini.

 

Pada waktu itu, pengetahuan saya agak cetek. Maklumlah darah muda. Yang saya tahu hanyalah media sosial, itu sahaja. Melalui artikel ini, selain menceritakan kepada anda tentang kesilapan yang pernah saya lakukan dahulu, saya juga ingin berkongsi tentang saluran-saluran digital lain yang saya gunakan untuk pelanggan-pelanggan saya hari ini, yang saya belajar dan yang saya tahu akan memberikan hasil yang sama dengan media sosial.

 

Memang betul, Facebook sangat berkesan sekiranya kita meletakkan wang anda untuk iklan pada platform itu. Lebih banyak, lebih kerap, lebih bagus. Begitu juga dengan Twitter, Instagram dan LinkedIn. Kalau ada iklan, memang perginya akan laju. Mencanak-canak statistik akan naik, menjadikan hati kita lebih terhibur. Terhibur mengharapkan jualan yang banyak juga akan diperoleh nanti.

 

Ini memang permainan mereka. Sebab itu media sosial dikenali sebagai platform yang berkonsepkan pay-to-play atau bayar-untuk-bermain. Tanpa iklan, status anda tidak akan dilihat ramai. Atau status anda akan meningkat juga tetapi tidak sehebat apabila ia diiklankan. Untuk kekal ‘bermain’ di media sosial tanpa iklan tetapi mampu menghasilkan pulangan yang baik juga ada taktiknya, tetapi saya tidak mahu ceritakannya pada hari ini. Itu untuk hari lain.

 

Hari ini saya mahu kongsikan dengan anda platform-platform lain yang kita boleh digunakan selain media sosial untuk mendapatkan trafik, jualan ataupun peluang. Ada ke tidak?

 

Ada.

 

Sebelum saya kongsikan dengan anda platform-platform itu, saya ingin memberitahu yang kita tidak harus melupakan terus media sosial. Rugi besar nanti. Ini kerana platform media sosial juga sama pentingnya dengan platform lain. Setiap satu menyokong kekuatan masing-masing dan di antara satu sama lain untuk kita mencapai apa jua objektif yang diharapkan. Bagi saya, kaedah pemasaran yang terbaik untuk pemasaran produk atau perkhidmatan yang kita sediakan sebenarnya ialah semua kaedah pemasaran.

 

Sekarang, mari kita lihat platform lain yang anda boleh gunakan untuk pemasaran digital anda selain media sosial:

 

Laman web sendiri

Ramai yang tidak sedar, laman web sendiri juga berfungsi sebagai satu saluran pengedaran efektif bagi artikel yang kita tulis, infografik yang kita lakar, grafik yang kita lukis dan persembahan slaid yang kita sediakan.

 

aaa

 

Cuma cara pengedarannya berbeza berbanding dengan media sosial. Laman web ini ibarat rumah yang menyimpan semua kandungan kita. Pengedaran kandungan-kandungan melalui laman web dilakukan melalui enjin pencarian seperti Google dan Bing. Setiap perkataan dan ayat yang ada pada setiap kandungan akan diindeks, disimpan dan dipaparkan sekiranya dicari. Syarat yang harus dipenuhi di sini ialah, kita mesti mempunyai kandungan-kandungan baharu untuk dimasukkan ke dalam laman web kita secara berterusan. Kalau tiada, kita tidak akan dijumpai.


 

E-mel

Laman-laman web yang sering mempunyai kandungan terkini dan menarik mampu menarik lebih ramai pengunjung setiap hari. Apabila mereka selalu datang berkunjung, akan ada sebilangan yang akan mendaftar e-mel mereka untuk menerima notifikasi di alamat e-mel masing-masing sekiranya terdapat kandungan terbaharu yang dimuat naik ke dalam laman web tadi. Dan mereka ini sanggup menerima notifikasi setiap hari, setiap minggu atau setiap bulan melalui newsletter kerana mula mempercayai kredibiliti laman web itu.

 

aaa

 

Di mata setiap pemasar digital, penghantaran newsletter ke setiap individu yang mendaftar adalah nikmat yang paling ditunggu-tunggu kerana bukan sahaja cara penghantaran newsletter ini percuma melalui e-mel tanpa perlu membayar apa jua iklan, komuniti ini juga merupakan kumpulan bakal pengguna yang paling hampir untuk membeli produk atau perkhidmatan yang disediakan. Lebih ramai komuniti ini wujud, lebih cerah peluang untuk mereka membeli. Lihat bagaimana AirAsia, Domino Pizza dan Shopee contohnya mendominasikan penggunaan e-mel untuk mempromosikan jualan-jualan 9.9 atau 10.10 mereka. Dan kita pun terbeli selepas itu.

 

Cara lain untuk mengumpul alamat-alamat e-mel selain pendaftaran melalui laman web ialah melalui kad bisnes yang diberikan kepada kita. Setiap kad bisnes yang dihulurkan pasti mempunyai alamat e-mel. Itu aset penting, ingat. Jangan lupa masukkannya ke dalam senarai e-mel kita. Lebih besar pangkalan data yang ada, lebih besar komuniti yang kita boleh pengaruhi untuk membeli produk atau perkhidmatan yang disediakan nanti. Newsletter, alat penting untuk kita gunakan untuk berhubung terus secara percuma dengan komuniti kita di luar sana 

 

aaa
Contoh Newsletter

 


Podcast

Sebaik sahaja kita siapkan satu-satu episod podcast itu, ia perlu dimuat naik di Spotify, Apple, Anchor dan sebagainya. Selepas kita kongsikan pada semua media sosial yang ada, lakukan ini. Ambil alamat URL podcast itu tadi dan masukkan ke dalam laman web kita beserta sedikit penulisan untuk dijadikan sebagai pengenalan kepada podcast tadi. Huraikan sedikit sebanyak tentang podcast tersebut.

 

aaa

 

Kata-kata kunci yang wujud pada penulisan pengenalan itu sangat-sangat membantu untuk menaikkan kedudukan ranking kita di Google dan juga untuk mudah dijumpai apabila mana-mana kata kunci tadi dicari.

 


Marketing In Asia dan Medium

Kedua-dua platform ini dikenali sebagai platform perkongsian kandungan atau content-sharing platform. Mereka menerima apa jua kandungan yang kita muat naik. Ia mudah. Kita cuma perlu mendaftar dan mewujudkan profil sendiri di dalam platform ini. Dan kemudiannya muat naik kandungan-kandungan kita ke dalamnya.

 

aaa

 

Marketing In Asia mempunyai ramai pembaca dari kalangan orang Asia manakala Medium pula lebih kepada pembaca-pembaca dari negara Barat. Kedua-dua mereka mempunyai kedudukan trafik dan ranking yang tinggi, mempunyai ribuan pembaca setiap hari yang datang berkunjung. Ini bermakna kita boleh mengambil kesempatan ke atas kedudukan mereka untuk membawa trafik dari platform ini untuk datang ke laman web atau media sosial kita sendiri.

 


Laman blog orang lain

Kita juga boleh menjadi seorang penulis jemputan atau pembuat kandungan jemputan di laman-laman blog milik orang lain dan muatnaikkan kandungan-kandungan kita di sana secara konsisten. Kita perlu mencari terlebih dahulu laman-laman blog yang menerima kandungan dari orang lain. Ini penting. Selain mengambil kesempatan ke atas trafik mereka untuk kita bawa pulang ke laman web sendiri atau media sosial sendiri, kita juga boleh mengambil kesempatan ke atas pengikut-pengikut media sosial mereka sekiranya pemilik blog itu berkongsi artikel yang kita tulis atau podcast yang kita letakkan pada blog mereka tadi di media sosial mereka.

 


Google My Business

Google My Business pula adalah fungsi yang disediakan oleh enjin pencarian Google khusus kepada usahawan-usahawan tidak kira kecil, sederhana mahupun besar untuk meletakkan maklumat terperinci tentang syarikat kita di Google. Apabila seseorang itu ingin mencari maklumat tentang bisnes kita atau jenama yang kita ada, nama bisnes kita akan dipaparkan di Google.

 

aaa

 

Cara memasukkan maklumat di sini sangat mudah. Isi sahaja semua maklumat yang ada pada kotak-kotak yang disediakan. Setelah semuanya dimasukkan, Google akan menghantar surat secara fizikal ke alamat pejabat yang kita masukkan tadi. Di dalam surat itu terdapat satu kod yang perlu kita masukkan di Google bagi mengesahkan yang alamat tadi benar-benar alamat pejabat kita.

 

Setelah permohonan kita diluluskan, Google akan membuat paparan di peta Google dan senaraikan semua maklumat tentang syarikat kita di sana bagi memudahkan sesiapa sahaja yang mencari produk, perkhidmatan atau menaip nama syarikat kita di Google membuat rujukan. Kita juga boleh memuatnaik status terkini, sama ada beserta gambar, video ataupun hanyalah teks kosong sahaja di Google My Business sama seperti di platform-platform media sosial lain. Kesemua ini akan membantu ranking kita agar naik dengan lebih baik lagi.

 

 
AZLEEN ABDUL RAHIM adalah seorang strategis pemasaran digital yang aktif menulis di pelbagai platform media sosial dan kini adalah kolumnis DagangNews menerusi ruangan IDEA DIGITAL setiap Sabtu.

 

 

KOLEKSI IDEA DIGITAL:

Jangan Percaya. Ini Semua Mitos Penjenamaan Sahaja

SELAMATKAN TAHUN 2020 ANDA!

Biarkan mereka, yang penting laman web anda ada blog

Pemulihan Bisnes Tahun 2020, Guna Pakar Yang Ada 6 Kriteria Ini

Saya Lakukan Ini Untuk Hidupkan Kembali Laman Blog Yang Lesu

Ada Cara Mudah Untuk Dapatkan Kedudukan Tinggi Di Google

 

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags